Mi Band 6 atau nama rasmi pasaran global, Mi Smart Band 6 adalah pengganti kepada Mi Smart Band 5. Seperti sebelum ini, Smart Band 6 turut menggunakan teknik pengecasan baharu iaitu bermagnet tanpa peranti perlu ditanggalkan dari tali jam.

Secara keseluruhan rekaan, fungsi, ciri dan lain-lain adalah sama sahaja. Cuma kini pengguna boleh memilih untuk tambat pada aplikasi Mi Fit atau Xiaomi Wear. Perubahan paling ketara adalah pada saiz skrin, yang kini tiada lagi butang kawalan sesentuh. Sebaliknya skrin penuh dengan saiz 1.56-inci panel AMOLED.

Fungsi penjejakan untuk aktiviti sukan, senaman, SpO2, bateri 14 hari dan pilihan 30 mod aktiviti adalah antara fungsi dan ciri menarik pada Mi Smart Band 6. Terdapat 130 pilihan muka jam ditawarkan yang mana dengan skrin penuh, ia memberi pengalaman lebih imersif.
Harga jualan adalah RM189, yang mana harga promosi sempena pelancaran adalah RM169. Mi Smart Band 6 hanya boleh didapati melalui pra-tempahan terlebih dahulu pada 15 April kelak.