Acara Electronic Entertainment Expo atau lebih dikenali sebagai E3 telah dibatalkan tahun lalu kerana wabak Covid-19. Tahun ini ia disahkan akan kembali berlangsung di antara 12-15 Jun tetapi secara maya sahaja. Ia terbuka kepada semua tanpa sebarang bayaran dikenakan. Pihak penganjur Entertainment Software Association juga mengesahkan mereka menyasarkan ia akan kembali kepada format fizikal di Los Angeles pada tahun 2022.
Mereka juga telah menerima komitmen dari Nintendo, Microsoft/Xbox, Capcom, Konami, Ubisoft, Take-Two Interactive, Warner Bros. Games dan Koch Media untuk menyertai acara tahun ini. Sony telahpun menarik diri dari E3 sejak 2019 bagi memberikan tumpuan kepada acara PlayStation Experience mereka sendiri. Acara E3 ialah antara acara permainan video terbesar dan telahpun dianjurkan sejak 1995. Tahun lalu adalah kali pertama ia dibatalkan.