Meskipun mereka boleh dianggap masih setahun jangung, namun perkara tersebut tidak menghalang Realme untuk melangkah jauh ke hadapan. Boleh dikatakan, jenama ini juga saban hari semakin dikenali pengguna sejak mereka mula beroperasi di Malaysia sekitar tahun 2018. Tidak terhad pada penghasilan telefon pintar semata-mata, jenama ini turut telah melebarkan sayap dalam pelbagai lagi produk lain untuk semua pengguna. Ini termasuklah aksesori audio dan ia telah ditawarkan dalam pelbagai jenis bentuk – baik dari segi berwayar, neckband atau TWS.

Selari dengannya, kini Realme telah memperkenalkan aksesori audio baharu mereka yang dikenali sebagai Realme Buds Air 2. Ia merupakan sejenis fon telinga nirwayar yang masih mengekalkan rekaan dalam telinga seperti Realme Buds Air Pro. Menariknya, Realme kali ini berkerjasama dengan kumpulan duo DJ terkenal, The Chainsmokers untuk pengenalan fon telinga ini. Melaluinya, ia dikatalan mampu memberi pengalaman penggunaan lebih baik berbanding generasi sebelumnya. Ia berikutan Realme Buds Air 2 menyokong sistem pembatalan hingar aktif serba baharu. Tetapi, adakah ia benar-benar mampu memenuhi jangkaan bagi kegunaan ramai pengguna? Ikuti apa kata kami di Amanz dalam artikel ulasan ini.
Spesifikasi Ringkas Peranti
Realme Buds Air 2 | |
---|---|
Jenis | Fon telinga nirwayar earbuds |
Mikrofon | Dua |
Hayat bateri | 4 jam / 22.5 jam (ANC Aktif) 5 jam / 25 jam (ANC Dinyahaktif) |
Port pengecas | USB-C |
Pengecasan nirwayar | Tidak |
Sistem operasi disokong | Android, |
Pembatalan hingar aktif (ANC) | Ya |
Sokongan pembantu maya | Ya |
Pad sesentuh | Ya |
Kemampuan kalis air | IPX5 |
Storan Dalaman | Tiada |
Audio Offline | Tiada |
CODEC | Tiada |
Harga Jualan | RM 199 |
Rekaan
Dari segi rekaan luaran, Realme Buds Air 2 dilihat mempunyai rekaan yang mirip seperti Realme Buds Air Pro sebelum ini. Ia hadir dengan rekaan fon jenis dalam telinga bertangkai dan pod pengecas yang berbentuk bujur. Namun begitu, sebenarnya masih terdapat juga perbezaan yang jelas. Antaranya, sambungan putik audio dengan bahagian tangkai yang lebih ketara. Kemudian, kemasan warna yang berlainan – di mana, Realme tidak lagi menggunakan satu warna yang menyeluruh. Sebaliknya, ia dilihat berlainan pada bahagian tangkai dan putik fon telinga ini.

Sebagai contohnya, unit ulasan yang kami terima ini berwarna Closer White. Seperti yang anda lihat, kemasan pada bahagian tangkai bewarna perak berkilat. Sementara itu, putik audio dan pod pengecasnya pula bewarna putih. Secara peribadi kami kurang menyukai kemasan putih ini kerana ianya mudah kotor dengan kesan cap jari, peluh dan sebagainya. Namun, bagi mereka yang mahukan alternatif lebih baik. Anda boleh mendapatkan Realme Buds Air 2 dalam kemasan lebih gelap bewarna Closer Black.
Bila bercakap soal keselesaan penggunaan, pujian kami berikan kepada Realme kerana fon telinga ini selesa sahaja dipakai untuk masa yang lama. Ia juga langsung tidak menyebabkan kesakitan, sebaliknya elok sahaja terletak pada telinga dengan kemas. Kami turut berpendapat, ia juga sesuai digunakan untuk wanita bertudung. Tambahan pula situasi sekarang menyaksikan kebanyakkan wanita bertudung sering berhadapan dengan masalah wayar berselirat apabila menggunakan fon telinga berwayar. Jadi dengan adanya fon telinga sebegini, ia mampu menyelesaikan segala masalah dengan baik.

Tidak ketinggalan, Realme Buds Air 2 turut didatangkan dengan tiga pilihan saiz putik silikon yang berbeza. Kesemuanya disertakan sekali di dalam kotak bungkusan pembelian. Melaluinya, anda boleh ubah setiap putik silikon pada fon telinga mengikut kesesuaian telinga masing-masing.
Seterusnya, saiz pod pengecasnya yang ideal dan ringan juga menjadikan Realme Buds Air 2 mudah untuk disimpan di dalam poket dan dibawa kemana-mana sahaja. Sekadar makluman, pod pengecas ini berukuran 60.3 x 57 x 24mm dan berat pula sekitar 42.7 gram. Binaan yang kompak ini turut dipadankan dengan rekaan engsel yang kukuh – di mana, ianya tertutup dan tidak mudah tertanggal kerana terdapatnya magnet. Jika diteliti, Realme Buds Air 2 mempunyai butang khusus pada sisi kanan pod pengecas seperti yang terdapat pada Oppo Enco X. Ia bertujuan untuk melakukan tambatan bluetooth dan proses penatapan semula (factory reset) kepada peranti baharu.

Kemudian apa yang kami perasan, proses membuka pod pengecas Realme Buds Air 2 dengan menggunakan sebelah tangan juga tiada masalah. Lebih menariknya, kedua-dua fon telinga juga tersimpan dengan kemas. Kami juga sempat menguji ketahanannya dengan menggoncang pod pengecas ini secara agresif. Hasilnya, fon telinga ini langsung tidak terjatuh keluar daripada pod pengecasnya.
Kawalan Dan Aplikasi
Proses sambungan ke peranti pintar boleh dibuat menerusi penggunaan aplikasi Realme Link – dengan sokongan fungsi bluetooth. Bagi memulakan proses sambungan ini, ianya boleh dibuat dengan hanya membuka bahagian penutup pod pengecas dan tekan butang pada sisi kanan sekitar 3 saat. Kemudian, lampu LED pada bahagian hadapan akan menyala – menandakan ia sedia untuk ditambat pada sesebuah peranti. Seperti yang kami katakan sebelum ini, anda juga boleh membuat proses penetapan semula (factory reset) dengan menekan butang berkenaan dengan kiraan sekitar 10 saat.

Bergerak pula ke bahagian kawalan, Realme Buds Air 2 hadir dengan sokongan kawalan sesentuh. Melaluinya, ia menawarkan sokongan kawalan yang mudah untuk difahami dan dipelajari. Bukan itu sahaja, anda juga boleh mengawal Realme Buds Air 2 ini dengan pelbagai jenis gestur pada bahagian tangkai fon telinga iaitu dwi-tap, tri-tap, menekan lama dan menatal tangkai.
Secara lalai, anda boleh tekan dua kali pada permukaan tangkai untuk jeda / mainkan media dan tekan sebanyak tiga kali untuk melangkau audio yang sedang dimainkan. Kemudian, tekan beberapa saat pada mana-mana fon telinga pula untuk menolak panggilan masuk atau mengaktifkan mod ANC. Akan tetapi, Realme membenarkan pengguna untuk menukar atau mengubah kesemua fungsi kawalan media pada fon telinga ini mengikut kesesuaian keperluan. Tidak kira sama ada anda mengubahnya pada fon telinga sebelah kiri mahupun kanan.

Tidak ketinggalan, ia juga disertakan fungsi In-ear Detection yang membolehkan muzik yang didengari akan berhenti secara automatik apabila fon telinga ditanggalkan. Kemudiannya, muzik akan bersambung semula secara automatik apabila ia dipasang semula pada telinga. Tidak ketinggalan, aplikasi ini turut menyokong mod Volume Enhancer untuk pengalaman audio lebih baik.
Bagaimanapun, kalau anda perasan masih terdapatnya kekurangan pada aplikasi ini. Di mana, ia tidak pula menawarkan kebolehan untuk mengawal kelantangan audio seperti yang terdapat pada sejumlah fon telinga lain. Jadinya, anda perlu melakukannya menerusi peranti yang dihubungkan dengan fon telinga ini. Kemudian, kawalan sentuhannya juga adakalanya memberikan tindak balas yang kurang responsif.

Seperti yang diketahui, Realme Buds Air 2 juga mempunyai sistem pembatalan hingar aktif dengan tiga tahap tetapan berbeza – iaitu Noise Cancellation bagi mengurangkan gangguan bunyi persekitaran. Seterusnya, General untuk penggunaan biasa tanpa sokongan ANC. Akhir sekali, Transparency Mode seperti yang turut boleh dijumpai pada sejumlah fon telinga lain – seperti Huawei FreeBuds 3, AirPods Pro, WF-1000XM3 atau Galaxy Buds+.
Melaluinya mod ini, ia akan meningkatkan bunyi ambien untuk membenarkan audio dari luar masih didengari – walaupun ketika itu anda sedang mendengar muzik pada tahap kekuatan maksimum. Anda boleh mengaktifkan setiap satu daripada mod ini menerusi aplikasi Realme Link ini. Di samping itu, aplikasi ini turut menawarkan sehingga 3 jenis talaan bunyi yang berbeza untuk pengalaman keseimbangan antara bunyi yang menyeluruh. Ia termasuklah – Bass Boost+, Lively dan Clear.
Kualiti Audio
Bercakap mengenai kualiti audio. Pada mulanya, kami agak kurang yakin dengan dakwaan Realme yang mengatakan bahawa Realme Buds Air 2 ini mampu memberikan pengalaman audio yang cukup baik. Ia berikutan, Kami juga pernah mencuba generasi yang terdahulu. Melaluinya, kami mendapati hasil sebenarnya ketika itu tidaklah seperti yang digembar-gemburkan sama seperti dalam iklan promosi. Jadi, untuk kali ini kami tidak meletakkan harapan tinggi pada fon telinga ini.

Namun, selepas berkesempatan mencubanya untuk tempoh sekitar seminggu. Kami akui agak terkejut dengan kualiti audio yang terhasil. Ianya baik sekali dengan kemampuan audio yang tidak mengecewakan. Kualiti audionya berada pada tahap yang memuaskan. Pada tetapan paling tinggi, kelantangan audio yang dihasilkan masih lagi baik dan tidak pecah. Kemudian, dentuman bass yang dihasilkan juga kedengaran cukup kuat, bertenaga dan mantap – terutamanya ketika mendengar muzik bergenre pop.
Sokongan pembatalan hingar aktif padanya juga mampu berfungsi dengan baik berbanding generasi sebelum ini. Tetapi, masih belum cukup untuk benar-benar menyembunyikan gangguan bunyi luaran untuk bunyi yang agak kuat. Meskipun begitu, fon telinga ini masih mampu membolehkan anda menikmati pengalaman audio tanpa gangguan. Alunan suara juga secara keseluruhannya boleh didengari dengan cukup jelas.

Tidak ketinggalan, Realme Buds Air 2 juga mampu menawarkan kualiti panggilan telefon biasa yang baik – menerusi sokongan dua mikrofon yang disertakan bersama-sama dengannya. Melaluinya, kedua-dua pihak termasuk si pemanggil dan si penerima mampu mendengar suara dengan jelas tanpa masalah. Keseluhannya, audio cukup jelas untuk didengar dan sokongan dua mikrofonnya berfungsi dengan cukup baik. Tetapi, satu perkara yang kami perasan. Penggunaan ketika panggilan video, audio dilihat mempunyai sedikit masalah sela masa.
Ketahanan Bateri
Realme mengiklankan fon telinga ini mempunyai jangka hayat bateri yang mampu bertahan selama 4 jam dan sehingga 22.5 jam dengan bantuan pod pengecas sekiranya ANC diaktifkan. Tempoh operasi ini boleh meningkat kepada 5 jam dan sehingga 25 jam dengan pod pengecas sekiranya ANC dinyahaktifkan. Dalam pada itu, Realme Buds Air 2 turut menyokong pengecasan 10 minit untuk ketahanan bermain sekitar 2 jam (ANC dinyahaktifkan). Kesemua ini bagaimanapun dimainkan pada kelantangan audio yang ditetapkan kepada 50%.

Ternyata ia bukan satu dakwaan yang tidak berasas. Tetapi, boleh dikatakan hampir tepat. Dalam ujian kami, Realme Buds Air 2 mampu mencapai penggunaan sekitar lebih 3 jam dengan sekali pengecasan. Melaluinya, ia dimainkan pada kelantangan audio yang agak kuat dengan fungsi ANC yang sentiasa diaktifkan. Oleh itu, kami merasakan hayat bateri pada Realme Buds Air 2 adalah baik dan ia berkadar terus dengan tahap kekuatan audio anda. Tetapi, terdapat seperkara yang kami sedari – adakalanya fon telinga kiri akan lebih pantas kehabisan bateri berbanding fon telinga kanan. Apabila kehabisan bateri, Realme Buds Air 2 boleh dicas semula dalam masa sekitar satu jam.
Perbandingan
Perbandingan | ||
Realme Buds Air 2 | Apple AirPods | OnePlus Buds Z |
Fon telinga nirwayar earbuds | Fon telinga nirwayar terbuka | Fon telinga nirwayar terbuka |
Dua pemandu audio | Satu pemandu audio | Dua pemandu audio |
Dua mikrofon | Dua mikrofon | Dua mikrofon |
Hayat bateri – 4 jam / 22.5 jam (ANC Aktif) 5 jam / 25 jam (ANC Dinyahaktif) | Hayat Bateri – 5 jam / 24 jam | Hayat bateri – 3 jam/20jam |
ANC | Tiada ANC | Tiada ANC |
Berat – 4.1 gram | Berat – 6 gram | Berat – 4.35 gram |
Bluetooth 5.2 | Bluetooth 5.0 | Bluetooth 5.0 |
IPX5 | Tidak kalis air | IP55 |
Tidak Menyokong pengecasan nirwayar | Menyokong pengecasan nirwayar | Tidak Menyokong pengecasan nirwayar |
RM 199 | RM 879 | RM 399 |
Kesimpulan
Jadi adakah ia berbaloi untuk dibeli? Jika anda sedang mencari fon teliga dengan pembatalan hingar aktif yang murah. Realme Buds Air 2 boleh dikatakan sesuai untuk anda. Tidak seperti generasi sebelum ini, kita boleh menyifatkan Realme tidak mahu mengulangi kesilapan lama dengan memberikan pengalaman penggunaan yang lebih baik pada Realme Buds Air 2. Kali ini, Realme dilihat benar-benar memberikan apa yang cuba dipromosikan – termasuklah sokongan ANC yang ditambahbaik. Ia mungkin bukanlah yang terbaik, tetapi ia mempunyai kemampuan menyaringkan hingar dengan agak baik.

Kemudian, penilaian dari segi audio juga cukup memuaskan – dengan penghasilan yang jelas, terang dan nyaring. Seperti yang kami katakan di atas, pada tetapan paling tinggi, kelantangan audio yang dihasilkan masih lagi baik dan tidak pecah. Ia juga mempunyai binaan yang baik dan mudah untuk digunakan dengan selesa. Dengan semua penawaran ini, tidak keterlaluan untuk kami katakan Realme Buds Air 2 mampu menjadi salah satu alternatif lain kepada Apple Airpods dengan harga yang amat mampu milik – iaitu RM199 untuk seunit.
Pro
- Rekaan pod yang kecil, mudah disimpan di dalam poket.
- Kualiti bunyi yang baik untuk harga jualan.
- Selesa di dalam telinga.
- Hayat penggunaan yang memuaskan.
- Kemampuan kalis air IPX5, sesuai untuk aktiviti bersenam.
Kontra
- Bateri agak tidak sekata – fon telinga kiri kehabisan bateri lebih pantas.
- Tiada sokongan pengecasan nirwayar.
- Berlaku sela masa pada audio untuk penggunaan ketika panggilan video.
- Memerlukan aplikasi Realme untuk mendapatkan fungsi menyeluruh.
- Kemasan mudah memerangkap kotoran dan calar – terutama untuk warna Closer White.
