Cari @ Amanz

Kesedaran terhadap impak COVID-19 kepada ekonomi terutamanya untuk sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) telah memberi tuah kemenangan buat 3 kumpulan terbaik yang berjaya membawa pulang hadiah menarik berbentuk wang ringgit menerusi program ATLAS Hack Virtual Hackathon.

ATLAS Vending Machine Sdn Bhd merupakan satu nama yang sangat popular dalam menyediakan perkhidmatan mesin jualan layan diri (vending machine) dan pada Hackathon dengan kerjasama JomHack ini, memberikan tajuk masalah bagi menjadikan perkhidmatan ‘mesin gedegang’ lebih menarik.

Dalam acara berkenaan, kumpulan Visi yang diwakili oleh Vincent Wong, Edison Tan dan Vee Han diumumkan sebagai juara keseluruhan dengan membawa pulang wang tunai RM10,000. Kumpulan ini berjaya mencuri perhatian panel juri dengan menampilkan projek mesin jual ubat layan diri.

Kemudian, tempat kedua dimenangi oleh kumpulan VEO yang diwakili oleh Tan Jun Wei, Roland Chieng Ung Lung dan Soo Mun Chong sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000. Idea projek yang dikongsi oleh kumpulan ini pula adalah penyelesaian kepada pembelian tanpa sentuhan dengan interaksi berasaskan gerak isyarat.

Manakala tempat ketiga pula diraih kumpulan UpAI yang diwakili oleh Chen Wai Yang, Chen Zi Ying dan Choy Jun Hao dengan membawa pulang wang tunai RM2,500.  Hasil usaha projek kumpulan ini pula adalah penyelesaian pembelian tanpa sentuhan dengan interaksi berasaskan pengenalan wajah.

Sementara itu, pemenang tempat keempat hingga ketujuh pula masing-masing menerima hadiah saguhati berupa wang tunai bernilai RM300 setiap seorang. Tidak ketinggalan, hadiah istimewa bernilai RM2000 turut ditawarkan kepada tiga kumpulan terbaik yang mampu melaksanakan idea yang diberikan oleh pihak ATLAS Vending dengan jayanya. Hadiah-hadiah tersebut telah dimenangi oleh kumpulan 404 Not Found, BorneoHackers dan juga  Veo.

Program ATLAS Hack Virtual Hackathon yang diadakan secara maya ini telah berlangsung sejak 5 Mac lalu dan berakhir pada 7 Mac 2021. Tujuan utama pelaksanaan program ini adalah untuk mencari solusi pintar yang boleh menyelesaikan masalah dalam dunia peruncitan – sekaligus boleh dimanfaatkan oleh orang ramai.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd