Dunia sudah semakin dibuka dengan program vaksinasi dijalankan dengan lancar setakat ini. Sungguhpun begitu mereka yang telah divaksin masih disarankan untuk memakai pelitup muka memandangkan vaksin yang diterima tidak semestinya mampu menentang varian Covid-19 yang telah termutasi. Oleh sebab itu ramai meramalkan pemakaian pelitup muka akan menjadi norma baharu dunia selepas ini.
Pemakaian pelitup muka pakai buang menelan belanja yang tinggi untuk jangka masa panjang. Oleh itu topeng muka fabrik menjadi pilihan di Malaysia. Tetapi jika anda inginkan kelainan, Xupermask kini ditawarkan sebagai pelitup muka pintar dengan pelbagai ciri tambahan. Ia dihasilkan oleh penyanyi Will.I.Am dan syarikat Honeywell.
Terdapat penapis 3 lapisan penapis HEPA lengkap dengan motor elektrik untuk memastikan pemakai dapat bernafas selesa. Ia mempunyai sepasang fon telinga ANC terbina yang sekiranya tidak digunakan boleh dilekapkan ke pipi menggunakan magnet.
Mikrofon juga disertakan bagi memudahkan panggilan telefon apabila Xupermask ditambat kepada peranti. Sistem lampu LED melengkapkan ciri unik Xupermask. Dengan sekali caj ia boleh beroperasi selama 7 jam berterusan.
Bagi yang berminat ia ditawarkan pada harga $299 (~RM1200) sepasang dalam warna hitam dan putih. Selain Xupermask, Razer Project Hazel juga telah diperlihatkan Januari lalu dan akan turut dijual oleh Razer dalam masa terdekat.