Carian
Berhati-Hati Dengan Aplikasi Hasad Yang Menawarkan Netflix Percuma Di WhatsApp
April 8, 2021 Effi Saharudin

Menjadi lumrah manusia yang lebih gemar menikmati benda percuma tanpa perlu membelanjakan sebarang bayaran. Kerentanan manusia ini digunakan oleh penjenayah untuk menjalankan skim penipuan terancang. Check Point Research telah menemui teknik penipuan terbaru yang membuatkan pengguna memasang aplikasi hasad semata-mata untuk menikmati Netflix percuma selama dua bulan.

Mesej yang mengatakan Netflix menawarkan perkhidmatan percuma selama 60 hari ini disebarkan menerusi WhatsApp. Apabila pautan dalam mesej ditekan, pengguna akan dipaksa memuat turun aplikasi FlixOnline yang menggunakan logo seakan Netflix. Aplikasi kemudiannya diberikan kebenaran membaca pelbagai data peranti seperti maklumat log masuk aplikasi, perbankan, emel dan banyak lagi semasa dipasang. Data ini kemudiannya boleh digunakan untuk aktiviti penipuan serta rampasan akaun.

Check Point Researh telah mengumumkan penemuan aplikasi hasad ini kepada Google yang terus membuang aplikasi dari Play Store. Namun begitu menurut mereka ia telah dimuat turun sekitar 500 kali sebelum ditarik. Oleh itu pengguna dinasihatkan supaya berhati-hati dengan pautan yang diterima menerusi media sosial yang menyorok di belakang penawaran penstriman Netflix percuma di masa hadapan. Aplikasi mungkin akan dilancarkan semula dengan nama lain tetapi menggunakan modus operandi sama.

Komen