Bertahun lamanya, Google Play Store menggunakan akses menu melalui ikon hamburger. Sedangkan banyak aplikasi dan perkhidmatan Google lain sudah beralih ke yang lebih moden dan kemas untuk penggunaan gestur lebih mudah serta sesuai dengan skrin peranti yang kini semakin besar. Terkini akhirnya, Play Store menggunakan antaramuka baharu.
Halaman utama Play Store pula berbeza untuk Malaysia dan Amerika Syarikat. Di Malaysia bahagian atas sekali adalah permua atau aplikasi yang Google cadangkan yang mana ada beberapa pilihan. Akaun Amerika pula memaparkan satu aplikasi dengan tatalan ke sisi memaparkan tangkapan layar apa yang aplikasi atau permua itu tawarkan. Sebaik sahaja Play Store dibuka, jika ada notifikasi dari dalam Play Store animasi dan ikon loceng akan muncul dengan pantas di sebelah gambar profil.

Menu hamburger di sisi telah dibuang dengan menumpulkan kesemua tetapan dan akses lain pada ikon gambar profil pengguna pada bar carian. Tekan sahaja gambar profil, semua akses sebelum ini akan kelihatan. Jika menggunakan akaun Amerika Syarikat akan ada bahagian memfokuskan Play Points. Tetapan utama pula berada di senarai kedua terakhir. General, User Controls, Family, dan About sections semuanya disusun dalam kategori tersendiri. Kandungan setiap tetapan ini masih sama, dengan teks yang lebih nipis dan boleh ditutup agar tidak serabut. Tekan sahaja ikon anak panah untuk kembangkan pilihan.

Untuk carian pula, ia lebih kurang sama – tetapi setiap aplikasi yang dicari keputusan yang dipaparkan adalah aplikasi paling popular akan muncul terlebih dahulu. Iklan masih ada dan aplikasi yang dipilih mempunyai ikon dan teks yang lebih besar. Tangkapan layar atau video pada setiap aplikasi juga lebih jelas kelihatan. Jika ada acara untuk permua misal kata, ia juga dipaparkan dengan lebih jelas.
Pada peranti saya, Play Store adalah versi 24.7.20-21. Kemaskini ini masih diedarkan secara berperingkat, jadi usah risau jika anda tidak menerimanya lagi.