Huawei dan syarikat automobil BAIC Blue Valley kini hadir dengan kenderaan pintar elektrik mewah yang dikenali sebagai ARCFOX αS HBT. Ia akan ditawarkan secara rasmi di pasaran China pada minggu hadapan – iaitu 17 April 2021.

Memetik beberapa laporan berasingan, ia merupakan kenderaan elektrik pertama yang menjalankan sistem Huawei Hi berasaskan kepada HarmonyOS. Ia dilaporkan sedikit berbeza dengan sistem Huawei HiCar yang digunakan pada kereta elektrik keluaran BYD sebelum ini. Di samping itu, ia juga akan dilengkapi Huawei LiDAR dan sokongan 5G terbina bersama-sama dengannya – sekaligus memudahkan kenderaan kekal berhubung tanpa memerlukan sebarang sambungan peranti tambahan.
Dengan gabungan kesemua kompenen yang ada, Arcfox αS HBT akan dipasarkan sebagai kenderaan autonomi tahap 3 yang mampu memandu dengan sendiri dalam situasi tertentu seperti lebuhraya yang sesak. Kemudian, sensor LiDAR amat membantu dalam keadaan ini – di mana, ianya berfungsi seperti radar tetapi menggunakan gelombang cahaya dari laser, bukan gelombang radio atau bunyi.

Menurut Huawei, ini merupakan kenderaan yang dibangunkan bersama dan mereka masih tidak mempunyai sebarang perancangan untuk hadir dengan kenderaan tersendiri. Sebaliknya, lebih berminat untuk membekalkan teknologinya kepada pengeluar kereta sedia ada.