Cari @ Amanz

Ulasan Philips 3200 LatteGo – Kopi Sedap, Tapi Pahit Membayar

Link Copied!

Kopi adalah minuman berkafein yang dihidangkan dalam pelbagai cara seperti pekat dan pahit, cair, bersusu, bergula, panas atau sejuk dan banyak lagi. Kopi juga ada pelbagai jenis seperti segera, kapsul, atau juga cara yang digemari oleh peminat tegar kopi – manual. Manual biasanya bermula dari membakar biji kopi, mengisar, dan barulah bancuh. Tetapi kaedah manual juga sudah semakin mudah dengan pelbagai mesin, gajet dan peralatan berada pasaran.

Biji kopi juga ada banyak pilihan dari yang berjenama, dari kafe tersendiri dan lain-lain lagi. Di Amanz ramai yang minat akan minuman kopi, tetapi lebih disebabkan sibuk bekerja tiada masa untuk lakukan proses manual untuk rasa kopi yang lebih nikmat. Oleh yang demikian, kami mengambil langkah untuk mencuba mesin kopi daripada Philips – Philips 3200 LatteGo. Adakah mesin kopi ini membantu? Adakah ia mudah digunakan? Bagaimana dengan rasa kopi? Kopi apa mesin ini boleh hasilkan? Ini adalah artikel ulasan kami.


Spesifikasi

Philips 3200 LatteGo
Tekanan Pam15 bar
Pemanas CawanYa
Jenis MinumanEspreso
Air panas
Kapucino
Kopi
Latte Macchiato
Americano
Sistem SusuLatteGo
Boleh membuihkan susu
260mL
Pengisar KopiYa, tersedia
Boleh laras
275g kopi boleh disimpan
Kedap udara dan ada perlindungan UV
Tangki AirPenapis AquaClean
Boleh isi air paip
Perlu kerap dicuci
1.8L
KawalanKawalan sesentuh kapasitif
HargaRM3599

Philips 3200 LatteGo ini adalah mesin kopi automatik yang besar. Ia ada banyak fungsi dan ciri hebat yang cuba menarik hati peminat kopi. Siapa sahaja yang tidak suka satu mesin boleh buat pelbagai jenis kopi? Mesin ini sahaja boleh menghasilkan enam jenis minuman berbeza dengan pelbagai pilihan kustomasi termasuk dari kuantiti kopi, susu, aras air dan lain-lain lagi. Mesin ini juga membawakan sokongan 15 bar tekanan, yang mana pada hemat kami tidak begitu baik kerana tekanannya seakan tidak sampai 15 bar pun – ia agak lemah. Mesin ini turut mempunyai bekas khusus untuk susu untuk membuihkan susu dengan saiz 260mL yang agak banyak.

Tangki air pula boleh menyimpan 1.8L dengan sokongan penapis AquaClean. Jadi isi air paip pun tidak menjadi masalah. Jika ingin minum air panas sahaja pun tidak mengapa. Ruangan biji kopi yang bergabung dengan bahagian pengisar mampu memuatkan 275g kopi. Ia juga kedap udara dan ada sistem pencahayaan ultraungu untuk keberishan dan ketahanan yang berpanjangan.

Rekaan mesin kopi ini biasa sahaja, tiada keunikan selain dari dalaman yang menggunakan sistem modular. Ia memudahkan proses pencucian, servis dan baiki. Permukaan atas seperti kebanyakan mesin kopi sekarang, boleh memanaskan cawan. Tempat air kopi keluar juga boleh diubahsuai mengikut saiz cawan, dulang untuk sisa kopi menitis, serta kawalan sesentuh kapasitif.

Philips 3200 LatteGo jelas sekali cuba menjadi mesin kopi yang serba lengkap.

Pemasangan Dan Tetapan

Mesin kopi seperti ini sepatutnya memudahkan semua orang. Tetapi tidak kira peminat tegar kopi atau tidak, proses pemasangan dan tetapan mesin ini sukar dilakukan. Lebih-lebih lagi unit kami yang tidak datang dengan buku panduan. Tetapi merujuk laman web dengan fail PDF berbeza, lain negara lain kaedah tetapan. Pada awal kami agak keliru dan buntu. Selepas selesai, tetapan pada setiap jenis kopi pula perlu dilakukan. Jika tidak, setiap kali ingin buat kopi akan perlu lakukan proses ini satu demi satu. Tetapkan jenis minuman seperti latte misal kata, pilih aroma kopi, tahap air, suhu dan lain-lain – tekan dan tahan mod untuk tetapan ini disimpan. Jadi kopi seterusnya barulah sekali tekan dapat kopi yang menepati citarasa.

Proses ini kami lakukan banyak kali, try and error untuk memahami setiap mod dan simpan tetapan kopi yang terbaik untuk kami nikmati. Untuk sebuah mesin yang “premium” dan sepatutnya berada dalam kategori mesin yang memudahkan, penggunaan awal mesin ini agak mengecewakan.

Apa Yang Pintar Dan Adakah Mudah Digunakan?

Seperti yang dikatakan tadi, pemasangan dan tetapan memang sukar dan memeningkan. Hanya selepas selesai, barulah mesin ini menjadi mesin kopi automatik seperti yang diiklankan. Walau bagaimanapun, mesin kopi ini tidaklah pintar mana. Majoriti kawalan adalah dari pengguna sendiri. Ia tiada sokongan Bluetooth, bukan dalam kategori peranti berhubung – tetapi hanya mesin kopi sahaja.

Walaupun ia adalah kawalan sentuhan, setiap label, indikasi dan lain-lain lebih kepada istilah mereka tersendiri. Misalnya butang aroma kopi adalah untuk amaun biji kopi yang ingin digunakan. Kemudian hardness of water pula adalah jumlah air dan ada juga butang lain yang hanya menggunakan logo dan mudah salah faham oleh pengguna kerana tiada label. Selama beberapa minggu penggunaan, banyak kali juga kami membaca buku panduan PDF yang tersedia di laman web.

Espreso, Air panas, Kapucino, Kopi, Latte Macchiato dan Americano adalah jenis minuman yang dihasilkan. Jadi bergantung kepada pengguna dan citarasa masing-masing, setiap jenis minuman ini boleh diubahsuai. Kecuali air panas, apa yang boleh diubah? Tetapi, lain-lain jenis minuman kopi semuanya boleh ubah. Tetapi sekali diubah, anda perlu tetapkan semula dan simpan kerana jika diubah profil yang disimpan itu terus hilang.

Mesin kopi ini juga ada pengisar biji kopi terbina. Cuma, pengisar ini agak dungu. Biasanya, peminat kopi ada tahap tertentu bagaimana biji kopi mereka ingin dikisar. Kerana ia akan memberikan kenikmatan berlainan, juga cara bancuhan yang berbeza. Philips 3200 LatteGo ini, hanya boleh melaras tahap kisaran selepas butang kisar dimulakan.

Perkara mudah yang lain adalah sistem susu, penapis, dan proses pembersihan. Sistem susunya secara automatik menghasilkan buih yang konsisten, sambil itu ia juga boleh memanas. Penapis air pula mudah dibersihkan. Seperti kebanyakan penapis air, jika sudah tiba masanya – penapis itu perlu ditukar. Dengan sistem perkakasan modular, setiap komponen mudah dicabut untuk cuci, servis atau baiki. Tetapi perlu berhati-hati untuk elak tersentuh bahagian sensitif.

Paling menjengkelkan adalah dulang atau bekas di mana sisa kopi dibuang. Ia lambat kering dan menjadikan sisa ini melekit, berlendir dan agak geli. Ia juga mempunyai bau kopi kuat yang tidak menyenangkan jika tidak dicuci.

Walaupun begitu, jika air sudah berkurangan, bekas sisa penuh atau juga bahagian yang tidak dipasang dengan rapat dan ketat – walaupun pada pandangan pengguna seakan semuanya keadaan baik akan ada lampu indikasi untuk amaran. Ini memudahkan dan membantu pengguna bukan sahaja menjaga kebersihan, tetapi juga menjaga mesin ini dengan baik.

Rasa Kopi Boleh Lawan Kafe Ke?

Rasa kopi adalah penting sama sekali. Peminat tegar boleh bezakan setiap rasa dengan tepat, mencari aroma tertentu, keistimewaan biji kopi, rasa buah yang ada, tahap pahit, cair ke manis ke sedap atau tidak semuanya penting. Di pasaran ada banyak biji kopi dijual dan semuanya berbeza. Tetapi dengan mesin kopi ini, tidak kira mahal mana biji kopi dibeli – rasa kopi adalah rasa kopi yang lebih kurang sama dihidangkan di hotel, ruang menunggu, acara dan lain-lain. Hanya peminat tegar sahaja dapat bezakan, sayang sekali mesin ini tidak menghargai kualiti biji kopi dengan baik. Malah rakan sekerja kami yang lebih arif mengenai biji kopi juga katakan bezanya ada, tetapi sedikit. Jika dibandingkan dengan mesin kopi lain dengan harga yang lebih kurang sama, keistimewaan kopi itu boleh dibezakan dengan lebih banyak.

Jika pengguna biasa cuba akan tidak dapat bezakan biji kopi mana premium dan mana murah. Ada juga masalah di mana rasa kopi mempunyai pahit yang berbeza. Jadi, mesin kopi ini lebih sesuai untuk mereka yang tidak kisah biji kopi apa yang ingin digunakan. Oh ya, mesin ini juga boleh menentukan jumlah mineral di dalam air yang mana membantu peminat kopi. Beberapa peminat kopi menyatakan jika lebih rendah jumlahnya rasa kopi lebih enak. Tapi kalau pendapat peribadi, saya tidak begitu hiraukannya.

Dengan sistem susu LatteGo yang menarik, susu adalah sentiasa panas dan buih juga konsisten seakan barista profesional hasilkan. Susu yang kelihatan enak, lemak berkrim menjadikan air kopi dengan susu pada mesin ini kelihatan menyelerakan. Kemampuan memanaskan susu sambil membuihkan dengan kadar yang sama sentiasa adalah amat dihargai. Mesin kopi biasanya hanya ada corong untuk keluarkan stim untuk panas dan dan menghasilkan froth, yang mana jika terlalu lama susu boleh hangit dan tidak enak atau buih tidak menjadi kerana pergerakan naik turun corong tidak sama sentiasa. LatteGo menyelesaikan masalah ini.

Kekurangan Philips 3200 LatteGo adalah tiada crema yang mana adalah titisan terakhir bancuhan kopi yang lebih pekat. Mesin ini tidak boleh menghasilkan crema, sedangkan mesin kopi Nrespresso saya yang lebih murah pun boleh. Mungkin ada orang tidak hiraukan hal ini, tetapi mereka yang menghargai kopi berkualiti ini mungkin penting.

Kesimpulan

Mesin ini memberikan satu pengalaman yang baik-baik sahaja. Tetapi untuk mesin seperti ini, tetapan agak leceh dan pemasangan juga mengelirukan. Walaupun butang tidak banyak, disebabkan beberapa butang itu adalah jenis boleh laras – jika salah tekan kopi yang sudah kita gemari tidak lagi dapat dihasilkan. Dengan penghasilan atau bancuhan kopi yang tidak konsisten, rasa kopi yang lebih kurang sama walaupun menggunakan biji kopi istimewa – ini bukan mesin untuk peminat tegar kopi. Untuk yang layan kopi bersahaja, ini mungkin untuk anda jika, jika anda rajin mencuci, servis sekurang-kurangnya dua-tiga minggu sekali. Ia akan menjadikan mesin ini sebagai satu komitmen.

Tetapi jika anda tidak cermat untuk lalukan tetapan, tugasan lain untuk mesin ini – ini bukan untuk anda juga. Malah mesin ini adalah mesin yang sesuai untuk diletakkan di acara, rumah terbuka, pejabat kecil atau mana tahu jika inginkan kelainan – jamuan Hari Raya? Kalaulah boleh sambut Raya.

Pujian setinggi-tinggi yang kami berikan pada mesin ini adalah sistem LatteGo. Sistem membuihkan susu yang terbaik yang hadir secara terus terbina. Malah ia cukup baik, bancuh kopi dengan mesin lain dan gunakan LatteGo untuk kenikmatan yang lebih memuaskan. Harapnya Philips boleh keluarkan peranti khusus untuk LatteGo sahaja, seperti Aeroccino Milk Frother yang ditawarkan oleh Nespresso. Jadi bolehlah gunakan fungsi hebat ini dengan mesin kopi lain.

Pembersihan mudah, servis mudah, komponen yang modular amat membantu semua. Tetapi sisa kopi tidak begitu bagus dan kuat berbau. Seperti yang dikatakan tadi, kalau tidak rajin – akan ada bau atau mungkin boleh rosak.

Harga jualan adalah RM3,599 yang mana agak mahal. Malah mesin kopi yang lebih diminati oleh peminat tegar kopi seperti Breville, atau lebih spesifik model Barista Expresso boleh didapati pada harga bawah RM3000. Kekurangan hanya tiada sistem susu dan menggunakan kaedah manual. Mungkin yang mahal di sini adalah sistem susu itu sahaja? Untuk harga mencapai RM3000 dan rasa kopi yang bolehlah, ia tidak berbaloi.


Pro

  • Menawarkan 5 jenis kopi dengan hanya tekan butang kopi yang ingin dihasilkan.
  • Cuba dengan baik untuk menarik peminat tegar kopi dengan pelbagai kawalan dari aroma, jumlah mineral dan lain-lain.
  • Penapis air terbina untuk terus minum air kosong.
  • Sistem modular yang mudah untuk dibersihkan dan baiki.
  • Sistem LatteGo yang terbaik dengan kualiti susu yang menepati citarasa.

Kontra

  • Rasa kopi yang tidak konsisten, yang mana kadang-kadang pahit atau tidak jika guna biji kopi istimewa keistimewaan rasanya tidak dapat dinikmati.
  • Beberapa butang kawalan tiada label, mudah mengelirukan.
  • Pengisar hanya boleh laras selepas ia dihidupkan.
  • Sistem susu tiada corong yang memudahkan.
  • Sisa kopi terlampau berlendir, bau kuat dan lembab.

Komen ()