Motosikal Kuasa Hidrogan Segway-Ninebot Apex H2 Kelihatan Seperti Daripada Anime Akira

Diterbitkan pada Apr 8, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Segway-Ninebot memperlihatkan Apex H2 yang merupakan sebuah motosikal elektrik berprestasi tinggi mereka. Berbeza dengan motosikal elektrik lain di pasaran, Apex H2 menggunakan kuasa sel hidrogen bagi memberikan jarak operasi yang lebih jauh berbanding menggunakan kuasa bateri.

Perkara paling menarik Apex H2 selain sumber kuasanya ialah rekaannya. Sekilas pandang ia kelihatan seperti motosikal elektrik dari anime terkemuka Akira. Kedua-dua tayar hadapan dan belakang hanya mempunyai satu lengan gantungan. Tiga botol hidrogen dapat dilihat dari sisi yang membekalkan kuasa kepada motosikal.

Segway-Ninebot membayangkan di masa hadapan botol hidrogen akan dapat ditukar di stesen minyak dan menyelesaikan masalah kenderaan elektrik yang mengambil masa yang lama untuk disas. Mereka tidak memberitahu apakah jarak operasi Apex H2 tetapi berkata hanya 1 gram hidrogen diperlukan untuk perjalanan 1 kilometer.

Dari segi prestasi motor elektrik yang digunakan memberikan output 60kW (80 kuasa kuda), kelajuan maksimum 150 km/j dan mengambil masa kurang 4 saat untuk mencapai kelajuan 100 km/j dari kedudukan pegun.

Di China, Segway Ninebot Apex H2 ditawarkan pada harga jualan RMB 69,999 (~RM45,000) sebuah menerusi laman biayasama. Sekiranya 99 Apex H2 ditempah barulah Segway Ninebot akan meneruskan pembuatan dengan motosikal akan akhirnya tiba ke tangan pembeli pada tahun 2023.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami