Nokia melancarkan tiga siri peranti baharu mereka iaitu Nokia X, Nokia G dan Nokia C. Siri C ialah yang paling rendah spesifikasinya dan untuk tahun pertama dua dilancarkan iaitu Nokia C20 serta Nokia C10. Ia bolehlah dilihat sebagai pengganti siri Nokia 1 sebelum ini.

Nokia C20 ialah peranti dengan skrin 6.52″ LCD HD+, dijana cip Unisoc SC9863a lapan teras, memori sehingga 2GB RAM, storan sehingga 32GB dan bateri sebesar 3000 mAh. Ia hanya menyokong pengecasan 5W menerusi port mikroUSB. Kamera utama pula sebesar 5MP dan kamera swafoto juga 5MP. Masih terdapat bicu audio 3.5mm dan sokongan radio FM terbina. Peranti ini menyokong rangkaian 4G.

Nokia C10 juga menggunakan skrin 6.52″ LCD HD+ tetapi dijana cip Unisoc SC7331e empat teras, memori sehingga 2GB RAM, storan sehingga 32GB dan bateri sebesar 3000 mAh. Ia hanya menyokong pengecasan 5W menerusi port mikroUSB. Kamera utama pula sebesar 5MP dan kamera swafoto juga 5MP. Masih terdapat bicu audio 3.5mm dan sokongan radio FM terbina. Perbezaan selain pemproses ialah ia sekadar menyokong rangkaian 3G.
Kedua-duanya juga masih mempunyai slot untuk kad mikro SD. Pada waktu yang sama peranti menggunakan sistem operasi Android 11 Go Edition yang ringan dan sokongan sistem operasi setiap suku selama dua tahun sahaja. Kerana peranti-peranti ini adalah dari kelas asas Nokia C20 ditawarkan pada harga €90 (~RM371) manakala Nokia C10 pula pada harga €75 (~RM310) sebuah.