ZTE sebelum ini telah mengesahkan bakal hadir dengan siri Axon 30 pada 15 April hadapan. Jenama ini dipercayai hadir dengan lebih daripada satu model di bawah siri ini dan salah satu daripadanya akan dikenali sebagai ZTE Axon 30 Ultra.

Spesifikasi tetapan kamera utama untuk ZTE Axon 30 Ultra kini mula diperlihatkan dalam beberapa video promosi. Ia dilihat menggunakan sistem kuad-kamera utama. Tetapi, apa yang membuatkannya lebih menarik di sini adalah ia menampilkan sehingga tri-sensor sebesar 64-Megapixel bersama-sama dengannya. Sensor-sensor berkenaan terdiri dengan 64-Megapixel untuk utama dengan bukaan sehingga f/1.6, 64-Megapixel untuk ultra-lebar dan 64-Megapixel lagi untuk sensor portrait.

Kemudian, lensa keempat pula sebesar 8-Megapixel untuk telefoto. Tidak ketinggalan, ZTE Axon 30 Ultra turut akan dilengkapi ciri penstabilan video bertujuan untuk rakaman video lebih stabil. Ternyata, spekulasi mengenai siri Axon 30 bakal dilengkapi kamera sehingga 200MP adalah benar. Kerana, jika kesemua saiz sensor kamera peranti ini dikumpulkan, ia mampu mencapai angka 200MP.