Alienware m15 Dan Dell G15 Yang Dikuasakan CPU AMD Ryzen 5000 Akan Tiba Di Malaysia Pada Bulan Mei

Diterbitkan pada Apr 9, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Dell baru-baru ini telah membuat pengumuman bahawa dua daripada model komputer riba mereka, iaitu Dell G15 dan juga Alienware M15 akan hadir dengan kemaskini CPU AMD Ryzen 5000 bersama-sama dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX siri 3000.

Alienware m15 Ryzen Edition R5 ialah komputer riba Alienware pertama yang dikuasakan sebuah CPU AMD sejak Alienware mALX pada tahun 2007. Komputer riba ini hadir dengan semangat rekaan Alienware yang lebih segak dan minimalis yang dinamakan Dark Core 2.0.

Rekaan ini yang juga menggunakan warna-warna rangka yang lebih gelap mengurangkan gangguan dan meningkatkan fokus gamer dalam permainan-permainan komputer mereka.

Alienware m15 Ryzen Edition R5 ini juga hadir dengan panel 15.6 inci dengan pilihan resolusi 4K 240Hz ataupun Full HD 360Hz. Ia turut dikuasakan dengan pilihan siri CPU AMD Ryzen 7 5000H, memori DDR4 16GB yang boleh dinaiktarafkan dan juga storan NVMe PCIe sebesar 512GB.

Dari segi pilihan GPU pula, Alienware m15 Ryzen Edition R5 ini dilengkapi dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3000, bermula dari GeForce RTX 3060 8GB sehinggalah GeForce RTX 3080.

Dalam pada itu, Alienware turut bekerjasama dengan syarikat pembuat suis perkakasan input komputer Cherry dalam membangunkan papan kekunci mekanikal khusus untuk komputer riba Alienware m15 ini, jika ia diingini oleh pengguna.

Beralih pula kepada Dell G15 Ryzen Edition, siri komputer riba gaming kelas mampu-milik ini bukan sahaja hadir dengan spesifikasi dalaman yang terkini, tetapi juga rekaan yang lebih moden dengan estetik minimalis.

Dell G15 Ryzen Edition dikuasakan oleh pilihan CPU AMD Ryzen 5 5600H ataupun AMD Ryzen 7 5800H bersama-sama dengan memori DDR4 sebanyak 8GB yang boleh dinaiktaraf sehingga 32 jika diingini dan juga storan SSD NVMe PCIe sebesar 512GB.

Dari segi pilihan kad grafik pula, Dell G15 Ryzen Edition ini dilengkapi dengan pilihan NVIDIA GeForce RTX 3060 dan keatas. Paparan yang digunakan pula bersaiz 15.6 inci dengan resolusi Full HD bersama-sama pilihan kadar segar semula 120Hz ataupun 165Hz.

Satu aspek yang diambil Dell G15 ini daripada siri komputer riba Alienware ialah sistem penyejukan yang digunakan untuk memastikan komponen-komponen CPU dan GPU yang berkuasa ini kekal berfungsi pada tahap optimum tidak kira corak penggunaannya.

Menurut Dell Malaysia, kedua-dua model komputer riba Alienware m15 Ryzen Edition R5 dan juga Dell G15 Ryzen Edition ini akan tiba di pasaran tempatan pada bulan Mei kelak. Pilihan model dan tanda harga untuk komputer-komputer riba ini tidak diketahui lagi, tetapi kami menjangkakan bahawa ia akan diketahui lebih dekat dengan tarikh pelancarannya kelak.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami