Rekaan Google Pixel Watch Tertiris – Mungkin Turut Menggunakan Cip Sendiri

Diterbitkan pada Apr 11, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Adalah perkara yang agak mengejutkan Google tidak pernah melancarkan jam tangan pintar mereka sendiri walaupun Android Wear yang kemudiannya dijenamakan semula sebagai Wear OS telahpun wujud hampir 7 tahun. Ini akan berakhir apabila Google Pixel Watch dilancarkan tahun ini. Rekaan jam tangan pintar pertama Google telahpun tertiris ehsan Jon Prosser yang kerap mendedahkan maklumat peranti lebih awal.

Dari imej pengolokan yang tertiris, Pixel Watch ialah peranti yang kelihatan futuristik, minimalis dan juga kemas. Keseluruhan muka jam adalah berbentuk bulat tanpa bingkai logam dapat dilihat. Rekaan tali silikonnya pula mirip yang digunakan pada Apple Watch kerana diselit terus ke tubuh. Menurut Prosser, sebanyak 200 tali jam akan ditawarkan kelak oleh Google.

Muka jam bulat dipadankan dengan sebuah butang kawalan berputar pada sisi kanan dan sebuah butang fizikal lagi pada sisi kiri. Turut dapat dilihat ialah alur speaker pada bahagian kanan yang membolehkan ia digunakan untuk menjawab panggilan telefon.

Harus diakui rekaan Pixel Watch ini sekiranya benara adalah amat cantik dan kontemporari. Google Pixel Watch dijangka dilancarkan pada Oktober depan menggunakan cip keluaran sendiri sama seperti yang mungkin digunakan pada Pixel 6 nanti.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami