Nilai kriptowang sekarang dilihat meningkat saban hari, dimana anda samada membelinya daripada platform pertukaran kriptowang ataupun melaburkan sejumlah besar kos untuk melombongnya sendiri.
Melombong kriptowang pada asasnya bukanlah sesuatu yang salah, tetapi sebelum ini kami telah melaporkan sejumlah kes dimana individu ataupun kumpulan yang melombong kriptowang menggunakan tenaga elektrik yang dicuri dan menyebabkan kerugian kepada pelbagai pihak, khususnya mereka yang bekalan tenaganya dicuri dan juga Tenaga Nasional.
Terkini, pihak polis Negeri Sembilan telah menumpaskan sebuah sindiket melombong kriptowang Bitcoin melalui sebuah serbuan yang dilakukan beberapa hari lalu. Serbuan tersebut, yang dilakukan melalui kerjasama pihak PDRM Negeri Sembilan dan Special Engagements Against Losses (SEAL) dari TNB berjaya merampas sebanyak 190 mesin melombong kriptowang yang bernilai RM380,000 di Bahau.
Sindiket ini dilaporkan melombong kriptowang secara haram melalui lima lot kedai di sekitar kawasan tersebut, dan ini menyebabkan kerugian sebanyak RM216,500 kepada pihak Tenaga Nasional.