Airbus Membangunkan Internet Kelajuan Gigabit Untuk Kapal Terbang Menggunakan Laser

Diterbitkan pada Apr 12, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Sudah menjadi kebiasaan sekarang untuk menikmati kelajuan Internet sehingga 500Mbps di rumah kerana sambungan fiber di Malaysia. Melakukan tugasan kerja, menstrim, memindahkan fail bersaiz besar dan telesidang boleh dilakukan tanpa sebarang masalah dengan perkhidmatan Internet pantas jalur lebar. Tetapi apabila di dalam kapal terbang, pengalaman Internet seperti menaiki mesin masa kembali ke era capaian dail 1990an. Kelajuan terpantas pada waktu ini hanya sekitar 5-8 Mbps dengan kos yang amatlah tinggi.

Airbus dan Netherlands Organisation for Applied Scientific Research (TNO) telah mengumumkan pembangunan sistem Internet pantas untuk pesawat yang menawarkan kelajuan sehingga beberapa Gigabit sesaat. Sistem UltraAir ini kelak menggunakan laser bagi memberikan sambungan yang bukan sahaja lebih pantas tetapi juga lebih selamat berbanding sambungan menggunakan satelit pada waktu ini.

Ia dibangunkan khusus untuk kegunaan ketenteraan bagi membenarkan dron melakukan sambungan kepada awanan tetapi impak yang lebih besar adalah kepada penumpang kapal terbang dalam masa sedekad dari sekarang. Kelajuan lebih pantas dapat dinikmati kerana tiada masalah interen gelombang radio dan frekuensi yang kini semakin sesak.

Pada tahun 2021 ujian pertama UltraAir akan dilakukan di makmal sebelum sambungan laser antara pesawat ujian dan satelit dilakukan pada tahun 2022. Rangkaian satelit geosegerak SpaceDataHighway milik Airbus akan menjadi tulang belakang kepada UltraAir kelak. Di masa hadapan Internet yang lebih pantas dan selamat boleh dinikmati dalam pesawat serta tidak sekadar dinikmati penumpang kelas bangsawan.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami