Apakah isu utama menggunakan TWS di pasaran sekarang? Pada hemat kami ia adalah mengingati tetapan kesemua gestur kawalan sesentuh terutamanya apabila ditambat pada pelbagai peranti berbeza. Morph Infiniconnect ialah TWS yang unik kerana pad sesentuhnya terletak pada tubuh pod pengecas dan turut memudahkan proses tambatan kepada peranti lain tanpa had.

Menurut pembangunan Infiniconnect dengan pad sesentuh OLED terbina pada tubuh proses menambat ke peranti baharu akan menjadi lebih mudah kerana senarai kesemua peranti dipaparkan terus. Kawalan peranti juga dapat dilakukan lebih jitu kerana saiznya yang lebih besar berbanding yang diletakkan pada putik audio TWS.

Kelebihan lain TWS ini ialah bateri yang boleh bertahan sehingga 24 jam dan sehingga 50 jam dengan bantuan pod pengecas walaupun dengan sokongan ANC diaktifkan. Pelbagai sistem seperti tambatan bluetooth 5.2, Qualcomm Adaptive ANC, aptX Adapative, aptX Voice, mod transparensi dan audio spatial juga disertakan.
Selain itu Infiniconnect turut melepas piawaian kalis air IPX5 dan sokongan secara nirwayar. Bagi yang berminta, Morph Infiniconnect kini mengumpul dana menerusi laman Indiegogo dan boleh disokong pada harga RM432 sebuah.