Carian
Sebanyak 68% Pengguna iPhone Dianggarkan Tidak Ingin Dijejak Untuk Pengiklanan
April 12, 2021 Fahim Zahar

Antara sebab kenapa ramai orang memilih iPhone adalah kerana sistem operasi iOS yang digunakan. Ia berfungsi dengan baik, serba lengkap untuk semua orang dan privasi dan sekuriti menjadi fokus utama. Lebih-lebih lagi dengan iOS 14 yang mana penjagaan privasi dan perlindungan untuk sekuriti adalah lebih ketat.

Terkini menurut laporan daripada AdWeek, 68% pengguna iPhone dianggarkan tidak berminat untuk dijejak untuk tujuan pengiklanan. Ini bermakna, tidak kira dari dalam aplikasi atau pelayar web – majoriti dijangka akan memilih Ask App Not To Track berbanding Allow Tracking apabila tetingkap terapung dipaparkan kepada pengguna. Melalui penganalisa daripada 300 aplikasi yang terpasang dalam 2000 peranti iOS, 32% pengguna membenarkan diri mereka dijejak untuk melihat iklan. Dianggarkan lagi yang 40% pengguna mungkin juga ingin dijejak, jika ditanya oleh aplikasi yang popular.

Sistem privasi dan sekuriti baru Apple ini tidak dinafikan yang ia tidak digemari oleh ramai pembangun aplikasi seperti TikTok atau Facebook. Ini kerana, melalui iklan mereka menjana pendapatan tambahan. Di Amerika Syarikat, industri iklan pada peranti mudah alih dianggarkan bernilai $105 bilion – iaitu sekitar lebih RM434 bilion. Jika 68% pengguna atau lebih lagi tidak ingin dijejak, sumber menganggarkan nilai industri iklan ini boleh turun sehingga 50%.

Jadi apa kata anda? Adakah anda tergolong dari pengguna yang ingin dijejak atau anda menjaga privasi anda dengan baik tanpa dijejak oleh mana-mana jenama teknologi?

Komen