Apple Dikatakan Menghadapi Masalah Bekalan Paparan Mini LED Untuk iPad Pro Akan Datang

Apple Dikatakan Menghadapi Masalah Bekalan Paparan Mini LED Untuk iPad Pro Akan Datang

Diterbitkan pada Apr 12, 2021 oleh .

Sejak tahun lepas, ia telah dilaporkan bahawa model iPad Pro untuk profesional kreatif tahun ini akan menggunakan komponen-komponen berkuasa, dan diantaranya ialah paparan skrin Mini LED yang bukan sahaja mampu menghasilkan warna yang lebih jitu, tetapi juga menggunakan tenaga yang lebih sedikit dan mampu memanjangkan hayat bateri peranti tersebut.

Berikutan bekalan komponen seperti cip pemprosesan, memori dan storan yang semakin sukar untuk didapati, Apple kini menghadapi sebuah lagi masalah dimana bekalan paparan Mini LED tersebut tidak mencukupi untuk pengeluaran besar-besaran.

Menurut laporan Bloomberg, Apple akan memperkenalkan iPad Pro dengan dua saiz yang berbeza, dimana saiz yang lebih besar, iaitu 12.9 inci akan hadir dengan paparan Mini LED ini. Ia dijangka bahawa apabila iPad Pro ini diperkenalkan seawal bulan ini, kekurangan bekalan paparan tersebut akan menyebabkan iPad Pro 12.9 inci akan dijual selepas iPad Pro yang lebih kecil, dan pada kuantiti yang lebih sedikit.

Menurut sumber laporan tersebut, kekurangan bekalan panel Mini LED ini adalah kerana pengeluaran yang sedikit, malah salah satu daripada pembekal Apple terpaksa menutup kilang untuk sementara waktu untuk menilai semula cara untuk meningkatkan pengeluaran.

Selain daripada itu, iPad Pro baru ini dilaporkan juga akan hadir dengan cip pemprosesan yang setaraf dengan Apple M1 yang digunakan pada komputer riba MacBook Air dan MacBook Pro 13 terbaru mereka.


Paling Popular