Cari @ Amanz

Sejak kejayaan Poco F1, Poco terus senyap untuk setahun dan hanya terus bangkit pada tahun 2020 di Malaysia dengan F2 Pro pula. Tetapi tiada F2, sebaliknya siri X dan siri M diperkenalkan pula untuk mengembangkan lagi pasaran mereka agar setiap peranti ada peminat tersendiri. Poco juga sudah menjadi jenama sendiri dan mula dijual secara lebih meluas, tidak seperti sebelum ini terhad. Ini menjadikan sehingga hari ini, Poco sudah ada dua peranti mercu utama dengan cip Snapdragon 845, kemudian 865 dan terkini pula Snapdragon 870.

Snapdragon 870 ini menguasai Poco F3, iaitu peranti mercu mampu milik yang bersaing sengit dengan banyak jenama lain. Cip ini adalah lebih berkuasa daripada Snapdragon 865+, tetapi lebih rendah dari Snapdragon 888. Setakat pengalaman penggunaan peranti dengan cip ini di Amanz, ia memberikan pengalaman penggunaan yang baik. Jadi, adakah Poco F3 ini peranti untuk anda? Dalam banyak-banyak Poco yang pernah saya gunakan, Poco F3 adalah yang paling saya suka.


Spesifikasi Dan Rekaan

Poco F3
Skrin6.67-inci AMOLED, 120Hz, HDR10+, 1300 nits
1080 x 2400 piksel
Gorilla Glass 5
PemprosesSnapdragon 870 (7nm)
Cip1 x 3.2 GHz Kryo 585
3 x 2.42 GHz Kryo 585
4 x 1.80 GHz Kryo 585
Cip GrafikAdreno 650
RAM6/8GB LPDDR5
Muatan Dalaman128/256 GB UFS 3.1
Kamera Utama48+8+5 Megapixel
f/1.79+f/2.22+f/2.4, OIS
Night mode 2.0, One-Click AI Cinema, 4K30FP
Kamera Swafoto20 Megapixel f/2.45
Selfie Night mode
Bateri4520 mAh
Pengecasan berwayar 33W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas jari fizikal di sisi
Harga JualanBermula dari RM1399

Skrin adalah 6.67-inci AMOLED dengan sokongan kadar segar semula 120Hz, paparan HDR10+ dan boleh mencapai kecerahan sehingga1300 nits. Ini adalah skrin yang sama dengan Redmi K40, jadi sepatutnya ia adalah antara yang terbaik. Seperti cip Snapdragon 888, peranti dengan cip Snapdragon 870 juga masih mempunyai pilihan terhad yang mana seperti yang dikatakan tadi ia menjana peranti ini. Dipadankan pula dengan pilihan memori sehingga 8GB RAM dan storan dalaman paling besar UFS 3.1 256GB.

Konfigurasi kamera 48+8+5 adalah asas sahaja untuk peranti dalam kelas ini. Jadi jika Poco F3 dengan harga bajet boleh – apakah alasan jenama mahal menggunakan tetapan kamera yang lebih kurang menjual pada harga tinggi? Juga sensor ditawarkan seakan Mi 11, iaitu yang akan digunakan dan tiada gimik seperti monokrom atau kedalaman. Swafoto terhad dengan 20MP yang mana sudah memadai. Bateri pula tidak begitu besar dengan kapasiti 4520 mAh yang turut menyokong pengecasan pantas 33W. Poco turut menyertakan lagi sensor infra merah, NFC, dan seperti Redmi K40 atau Redmi Note 10 – pengimbas cap jari adalah di sisi walaupun skrin AMOLED untuk rekaan lebih nipis.

Bercakap mengenai rekaan, Poco F3 menggunakan rekaan yang premium, cantik, minimalis, serta jika tidak beritahu ini adalah Poco atau harga jualan – saya sendiri akan sangka yang ini adalah peranti sekitar RM2000. Rangka peranti adalah plastik premium dan ada kaca Gorilla Glass 5 di depan dan belakang. Penggunaan plastik dan kaca ini membuatkan anda terpedaya yang Poco mungkin menggunakan binaan sama dengan peranti mewah.

Di tangan peranti ini benar-benar nipis, tidak begitu selesa tetapi baik-baik sahaja. Agak menjengkelkan dengan kotoran cap hari melekat dengan mudah dan ada pantulan seakan cermin. Tetapi dari segi rekaan, dengan skrin juga hampir menyeluruh, imersif – apa sahaja yang anda mahukan lagi? Kita dapat apa yang kita bayar dan Poco masih beri tambahan rempah ratus lain untuk sedapkan lagi pengalaman penggunaan.

Peranti Poco Dengan Pengalaman Penggunaan Terbaik

Skrin Poco F3 adalah antara skri OLED peranti kelas pertengahan atau peranti mercu mampu milik terbaik yang pernah saya cuba. Kualitinya amat memuaskan dan benar-benar cuba mendekati sebuah peranti mercu yang premium. Ia bukan sahaja terang, malah terang gila! Kecerahan mencapai lebih 1k nits adalah sangat baik jika kerap menggunakan peranti di bawah sinaran matahari. Warna cukup tajam, ada sokongan pengoptimasian untuk memberi pengalaman penggunaan berganda lebih baik dan dengan sokongan HDR10+, strim filem di Netflix sungguh mengasyikkan.

Sokongan 120Hz melengkapkan kehebatan skrin peranti ini. Ia membantu sedikit menjadikan peranti ini lebih pantas dan lancar. Tatal ke mana sahaja, buka tutup aplikasi dan dengan animasi peralihan MIUI semunya syok! Cuma sayang sekali 120Hz pada peranti menggunakan sistem adaptif asas 60Hz ke 120Hz dan tidak boleh turun ke 90Hz atau jika lihat imej pegun menjadi 1Hz. Kemudian, 120Hz tidak begitu konsisten kerana ia akan berubah secara tiba-tiba kepada 60Hz tanpa sebab dan ini menjengkelkan. 60Hz pada MIUI adalah sangat lembab dan menjadikan peranti seakan lengah masa.

Poco F3 turut memberikan pengalaman penggunaan keseluruhan yang ok, tapi tidak ok apabila prestasi menjadi tidak konsisten. Penggunaan storan UFS 3.1 dan RAM LPDDR5 yang mana turut dikuasakan oleh Snapdragon 870 – peranti ini memang peranti yang boleh berdesup laju untuk cuba menewaskan prestasi peranti mercu lain. Jadi buka tutup aplikasi, multi-tugasan, pasang aplikasi dan lakukan apa jua aktiviti ia memberikan pengalaman yang baik jika peranti ini ingin memberikannya. Masalah perisian yang membuatkan prestasi kejap hebat kejap lemah adalah antara perkara negatif pada peranti ini.

Tapi, itu adalah pengorbanan yang saya sanggup terima. Untuk kategori peranti ini – kita tidak boleh minta lebih daripada apa yang kita bayar. Perlu sedar akan ada pengorbanan perlu kita hadapi untuk membezakan peranti ini dengan peranti mercu premium.

Tolak semua ini ke tepi, Poco F3 membawakan pakej lengkap dari pengalaman bermain permua, untuk tugasan ringan, bergambar dan banyak lagi. Tidak lupa juga binaan premium membuatkan peranti ini rasa sangat berbaloi. Snapdragon 870 pada hemat saya adalah jauh lebih stabil dan selesa digunakan berbanding Snapdragon 888. Ini mungkin kerana SD870 adalah berasaskan SD865+ yang dinaiktaraf sedikit. Pengeluar sudah mahir untuk kendalikan cip SD865/865+ kerana sudah ada banyak peranti menggunakan cip ini berbanding SD888 yang masih terhad. Jadi pengoptimasian prestasi itu dimenangi oleh cip ini.

Cip ini juga tidak mudah panas dan penggunaan lama media sosial, kamera hanya suam sahaja. Panas melampau hanya apabila bermain permua melebihi 1 jam.

Skor Penanda Aras Setanding Mercu

Antara isu besar MIUI 12 pada peranti bukan dalam siri Mi, iaitu Redmi atau Poco – pasti akan ada masalah dengan aplikasi penanda aras Geekbench 5. Oleh yang demikian, saya terpaksa lupakan ujian pada aplikasi ini dan teruskan dengan AnTuTu dan Don’t Kill My App sahaja. Seperti biasa, nombor dalam penanda aras adalah digit sahaja dan pengalaman penggunaan sebenar lebih penting.

Dengan unit ulasan saya 8/256 GB, RAM jenis LPDDR5 dan storan jenis UFS 3.1 ia bantu menjadikan peranti pantas. Pada AnTuTu, skor yang saya terima adalah 6685534 yang melebihi dengan 600K. Ini adalah skor yang dijangka untuk cip berasaskan Snapdragon 865+. Dalam Vivo X60 Pro pula ia mencapai lebih 680K, tetapi itu 12GB RAM + 3GB memori dari storan dan Funtouch OS 11 cukup stabil dan bagus. Ini bermakna, dengan kemaskini perisian kelak iaitu MIUI 12.5 yang Xiaomi janjikan akan menggunakan 20% teras lebih rendah, 35% kurang penggunaan memori untuk aplikasi latar serta 25% kurang penggunaan kuasa – Poco F3 secara teori tiada masalah untuk mencapai angka lebih 700K kalau RAM adalah 12GB.

Untuk ujian pengurusan memori, skor diperoleh adalah 87%. Ini membuktikan yang ada masalah dalam perisian, kerana dengan perisian yang baik akan ada pengurusan memori yang baik.

Main Permua Syok Dan Tidak Panas

Sudah tentulah, kalau kita bercakap mengenai peranti Poco – prestasi permua itu macam mana. Ramai orang sangkakan, guna sahaja cip Snapdragon 8xx pasti akan berkuasa, hebat, pantas, gila lancar dan tiada masalah. Pasti orang ramai akan banggakan cip 8xx, tidak kiralah jika ia generasi lama pun. Contohnya Snapdragon 845 yang sudah berusia tiga tahun. Dengan binaan lama, penggunaan kuasa jauh berbeza dengan generasi baru. Ia mungkin lancar atau istilah “bolehlah nak guna”, persoalan anda ingin nafikan ke yang langsung tiada masalah? Usahlah menipu diri sendiri dan uji semua dahulu dan alami semua dahulu barulah anda tahu.

Untuk Poco F3 dengan cip Snapdragon 870, syukur ia terbukti berkuasa. Pada awalnya saya gunakan pada Vivo X60 Pro bersama-sama dengan Mi 11 yang dijanan Snapdragon 888 – agak terkejut yang ia mampu mengendali permua grafik tingi tanpa isu menjengkelkan. Jadi pada Poco F3 saya harapkan perkara yang sama. Benar, ia berkuasa dan syok main permua Asphalt 9 atau Genshin Impact. Tiada isu memanas yang serius, walaupun Asphalt 9 dimainkan selama satu jam dengan tetapan grafik paling tinggi. Kemudian Genshi Impact dengan tetapan grafik medium pula boleh sahaja mendapat pengalaman 60FPS. Walaupun tidak panas, ia hanya suam dan masih boleh pegang. Cuma selepas 15-30 minit (tidak konsisten) ia akan menjadi lengah masa.

Isu ini adalah prestasi yang tidak konsisten yang mana saya akan terang di bahagian di bawah. Secara keseluruhan, Poco F3 cukup berkuasa untuk bermain permua dengan grafik tinggi. Tetapi dengan binaan 7nm, penggunaan kuasa tidak begitu efisien berbanding SD888 dan membawa kepada masalah bateri cepat habis.

MIUI For Poco Sedikit Mengecewakan

Kalau MIUI 12 pada peranti Xiaomi Mi dan Redmi ada masalah prestasi tidak konsisten, iklan, banyak aplikasi gendut dan masih rasa ada masalah. MIUI for Poco sekali ganda lebih mengecewakan. Tetapi, apabila dibandingkan dengan peranti lain dalam kategori sama atau sekurang-kurangnya dengan peranti yang dijual pada harga lebih kurang – sistem operasi ini boleh sahaja dikemaskini dan pengguna juga bebas ubah custom ROM atau lain-lain modifikasi.

Ciri dan fungsi MIUI for Poco semakin hari semakin selari dengan MIUI biasa. Rekaan antaramuka cukup baik, kemas dan mudah digunakan. Tetapi isu notifikasi pada MIUI masih tidak boleh dimaafkan walaupun sudah lakukan pelbagai tetapan dan modifikasi, akan ada notifikasi bertindan dengan notifikasi lain.

MIUI juga tiada masalah pun untuk digunakan berpanjangan, tetapi kalau sudah strim video atau mai permua – saya galakkan rehatkan dulu peranti untuk ia kembali tenang. Jika tidak lengah masa akan berlaku. Bantuan 120Hz memang baik, cuma kalau banyak tugasan di latar atau memori digunakan – ia juga akan rasa perlahan.

Macam yang saya katakan sebelum ini dalam ulasan lain saya, MIUI 12.5 berkemungkinan besar adalah titik permulaan untuk MIUI yang terbaik. Jika kemaskini versi ini sudah ada, beli pada ketika itu. Jika tidak beli dahulu sebelum stok habis dan hadapi dan tahan sedikit cacat cela yang ada pada sistem operasi ini.

Meneruskan pengalaman seakan Android asli, banyak aplikasi Google terus terbina dengan beberapa elemen menarik Android 11 disokong secara natif tanpa menggunakan versi yang dibangunkan Xiaomi. walaupu begitu, hanya dari aplikasi sahaja. Sistem lain masih lagi klise seperti pelancar atau sistem operasi dari pengeluar China.

Bergayut Dan Mencari Jalan Tiada Isu Besar

Untuk peranti yang nipis, licin dan pegang jangka masa lama kurang selesa – melakukan panggilan telefon lebih dari 10 minit adalah tidak selesa. Walaupu peranti ringan, risau jatuh itu menjadikan diri ini penat. Walaupun begitu, kualiti audio panggilan telefon adalah cukup baik. Ada sedikit hingar dan kadangkala rangkaian tidak konsisten, tetapi ia ok.

Poco F3 juga tiada masalah GPS untuk menggunakan Google Maps atau Waze mencari arah selok-belok ke sesuatu destinasi cukup baik dan pantas. Tetapi ia baik dan pantas apabila ia ingin bersifat seperti itu. Isu prestasi MIUI yang tidak konsisten ini membuatkan penggunaan peranti mudah panas menggunakan GPS dan kadangkala sedikit lengah masa.

Penggunaan data mudah alih juga baik sekali tanpa isu serius. Seperti biasa, walaupun 5G tiada di Malaysia tetapi 4G akan lebih stabil dan akan lebih konsisten. Walaupun begitu, antara Snapdragon X55 vs Snapdragon X60 – saya rasakan Poco F3 ini lebih baik dari mencari rangkaian dan lebih stabil berbanding Mi 11 yang baru-baru ini kejap putus kejap tidak. Tetapi itu hanya pada diri saya, dan jika berlaku saya hanya hidup/matikan mod kapal terbang atau reboot peranti.

Kamera Semakin Cun

Seperti Mi 11 yang mana menggunakan konfigurasi tri-kamera, Poco F3 juga tiada sensor-sensor gimik. Sebaliknya menggunakan sensor yang pasti akan digunakan oleh pengguna. Sensor itu adalah 48MP utama dengan bukaan cahaya f/1.79, digabungkan dengan sensor 8MP sudut ultra lebar f/2.2 dan 5MP sensor makro dengan bukaan f/2.4. Kamera swafoto pula adalah lebih kurang sahaja iaitu 20MP dengan bukaan f/2.45. Melalui MIUI 12 juga, aplikasi kamera Poco F3 menggunakan yang sama dengan Xiaomi. Ia menawarkan mod malam generasi kedua, mod sinematografi untuk video dengan kesan visual menarik, rakaman 4K 30FPS dan juga pada swafoto boleh menyokong mod malam.

Menggunakan aplikasi kamera ini adalah mudah sahaja, ia tiada masalah seperti pada OnePlus 9. Iaitu pengatup tidak ada sela masa, sekali tekan ia terus mengambil gambar dan pasca-proses juga adalah pantas.

Kamera swafoto adalah lebih kurang dengan kesemua peranti Xiaomi tahun ini, lagi-lagi siri Mi 11. 20MP dengan wajah menjadi sedikit lembut, tetapi masih ada butiran yang dipelihara. Warna juga adalah okay sahaja, dengan mempunyai nilai HDR dan tiada masalah fokus. Cuma, pada latar akan ada sedikit hingar jelas kelihatan. Kemudian warna keseluruhan pula adalah sedikit tepu ke arah kemerah-merahan berbanding ke arah warna yang lebih natural. Mod potret swafoto juga baik sahaja pada hemat saya.

Mod makro juga adalah antara kekuatan pada Poco F3. Menggunakan sensor 5MP amat membantu berbanding pesaing yang menggunakan sensor 2MP sahaja seakan hiasan. Ini bukan mod potret, tetapi adalah mod makro pada jarak dekat yang memberikan hasil dengan dinamik warna yang baik, butiran yang jelas.

Poco F3 turut mempunyai kualiti imej sudut ultra lebar yang baik-baik sahaja. Tetapi ia tidak mempunyai warna yang cantik, tidak kosisten, lebih kepada pudar dan ada masalah untuk fokus. Tetapi imejnya cuba dengan baik untuk mengurangkan herotan menggunakan perisian yang mana pasti akan memuaskan semua orang. Kemudian sokongan zum juga boleh diterima. Cuma untuk zum, perlulah ambil di kawasan yang ada banyak cahaya untuk kualiti yang memuaskan.

Sensor utama juga sebenarnya amat memuaskan. Dalam banyak-banyak peranti Poco, ini antara kualiti kamera pada saya yang cukup memuaskan. Banyak yang diperbaiki dari pasca-proses kerana ambil gambar pantas dan berkualiti. Fokus juga baik sahaja, tidak kira mod biasa, mod zum atau potret semuanya akan memuaskan hati untuk seseorang yang membeli peranti pada harga bawah RM1800.

Cuma sayang sekali, sistem kecerdasan buatan pada kamera peranti ini adalah tidak cukup baik. Ini kerana ia tidak mempunyai profil yang tetap. Misalnya jika saya ambil gambar objek yang sama dengan cahaya yang sama, mod sama, hasilnya kadangkala berlainan dan kadangkala sama. Untuk saya, ini bukan isu besar kalau sifat tidak konsisten itu membawakan hasil gambar yang boleh diterima. Saya kurang gemar apabila hasil gambar terlampau banyak terdedah kepada cahaya atau gelap dengan banyak hingar.

Gambar manusia pada Poco F3 jauh lebih baik kerana mampu menyimpan butiran yang mencukupi.

Mod malam pada peranti ini kurang menarik. Saya kurang gemar mengambil gambar malam atau kurang cahaya dengan peranti ini. Ini kerana ia ada banyak hingar dan tidak begitu kemas hasilnya. Fokus juga kadangkala lari.

Akhir sekali sampel video Poco F3. Mi ke Redmi ke Poco ke, kalau harganya dikira bajet atau masih mampu milik – kualiti video pasti kurang memuaskan. Ia hanya sekadar melengkapkan sebuah telefon pintar untuk ada sokongan rakaman video. Walaupun begitu, Poco F3 masih cuba memberikan kualiti video yang baik – cuma hasil video Poco F3 tidak menepati citarasa saya. Warna baik, tetapi apabila perisian mengambil alih untuk menstabilkan video akan berlaku sedikit pecah-pecah yang tidak konsisten. Ini ada berlaku pada Mi 11, OnePlus 9 juga tetapi tidak konsisten.

Audio Stereo Yang Lantang!

Sebuah Redmi K40 yang diubah nama menjadi Poco F3, jadi sudah tentu pembesar suaranya adalah sama – sistem stereo. Cuma Poco F3 tiada Dolby Atmos. Apa yang mengejutkan pada hemat saya ada Dolby atau tiada untuk peranti dalam kelas ini seakan tiada beza. Menjadikan pengalaman pendengaran menarik adalah kualiti audio yang cukup baik.

Ia seimbang, lantang, mempunyai dentuman yang baik dan memuaskan. Tonton filem, dengar muzik semuanya rasa hebat belaka. Tetapi yang tidak menariknya adalah kawalan aras suara yang aneh. Apabila tatal ke atas ia semakin kuat, itu betul. Tetapi tatal ke bawah untuk rendahkan kadangkala terlampau perlahan dan kadangkala pula barulah baik-baik sahaja.

Biasanya peranti dalam kelas ini saya akan gunakan aksesori audio. Tetapi kualiti yang boleh diterima membuatkan saya lebih gemar menggunakan apa yang sedia ditawarkan sahaja.

Bateri

Antara peranti Poco premium yang ada di pasaran adalah Poco F2 Pro dan Poco F3 sahaja sekarang. Poco F1, kita lupakan dan ayuh mulakan dengan yang baru. Bateri 4520mAh pada sesetengah orang adalah mencukupi dan ada juga rasa tidak memadai. Tetapi dengan penggunaan skrin OLED, ada 120Hz, cip berkuasa – bateri besar akan membantu meningkatkan jangka hayat penggunaan.

Melalui Poco F3, tetapan yang saya gunakan adalah sentiasa 120Hz, kebanyakannya kecerahan skrin adalah dari 60%-100%, kerap menggunakan pembesar suara untuk muzik dan video, aktif dalam media sosial, sedikit kamera dan pada talam notifikasi hampir semua tetapan aktif termasuk Nearby Share – bateri adalah sekitar 4-5 jam sahaja dan sukar untuk saya capai 6 jam. Manakala jika bermain permua seperti Asphalt 9 sekitar 1 jam berterusan, bateri adalah sekitar 3-4 jam SOT.

Ini adalah kualiti bateri yang lemah. Mungkin kerana prestasi atau pengoptimasian sistem yang tidak konsisten membuatkan penggunaan kuasa tinggi. Lagipun cip 7nm memang lebih banyak menggunakan kuasa berbandin Snapdragon 888. Sokongan pengecasan pantas 33W juga pada hemat saya bolehlah. OnePlus 8 Pro pun bateri 4510mAh dan kuasa cas 30W sahaja. Jadi Poco sedikit lebih hebat agak membantu. Masa pengecasan adalah sekitar 1 jam tepat mengikut suhu peranti dan aplikasi yang terbuka.

Siapa Berani Bersaing Dengan Poco?

Poco F3OnePlus 9RBlack Shark 4
Skrin6.67″ AMOLED, FHD+, 120Hz, HDR10+, 1300 nits6.55″ AMOLED, FHD+, 120Hz, HDR10+6.67″AMOLED, FHD+, 144Hz, HDR10+, 1300 nits
Cip PemprosesanSnapdragon 870 (7nm)
1 x 3.2 GHz Kryo 585
3 x 2.42 GHz Kryo 585
4 x 1.80 GHz Kryo 585
Snapdragon 870 (7nm)
1 x 3.2 GHz Kryo 585
3 x 2.42 GHz Kryo 585
4 x 1.80 GHz Kryo 585
Snapdragon 870 (7nm)
1 x 3.2 GHz Kryo 585
3 x 2.42 GHz Kryo 585
4 x 1.80 GHz Kryo 585
GPUAdreno 650Adreno 650Adreno 650
RAM6/8 GB LPDRR58/12 GB LPDRR56/8/12 GB LPDDR5
Storan128/256 GB UFS 3.1128/256 GB UFS 3.1128/256 GB UFS 3.1
Kamera BelakangKamera Utama
48+8+5 Megapixel
f/1.79+f/2.22+f/2.4
Kamera Utama
48+16+5+2 Megapixel f/1.7+f/2.2+f/2.4+f/2.4
Kamera Utama
48+8+5 Megapixel
f/1.8+f/2.2+f/2.4
Kamera SwafotoKamera Hadapan
20-Megapixel f/2.45
Kamera Hadapan
16-Megapixel f/2.4
Kamera Hadapan
20-Megapixel f/2.0
IPTiadaTiadaTiada
Port Bicu Audio 3.5mmTiada bicu audio 3.5mmAda bicu audio 3.5mmTiada bicu audio 3.5mm
Pembesar SuaraAudio StereoAudio Stereo Dolby AtmosAudio Stereo Dolby Atmos
Bateri4520mAh
(Berwayar 33W)
4500mAh
(Berwayar 120W)
4500 mAh
(Berwayar 65W)
HargaBermula RM1399Bermula sekitar RM2300Bermula sekitar RM1582

Kesimpulan

Poco F3 ada banyak masalah juga sebenarnya. Tetapi dengan harga jualan yang tidak begitu mahal, pilihan peranti mercu premium yang terhad – peranti ini sesuai untuk mereka yang baru ingin berjinak dengan peranti mercu. Jika ingin rasakan bagaimana sesebuah peranti mercu boleh kendalikan tugasan harian, kamera, permua dan lain-lain – ini peranti yang terbaik. Skrin OLED cukup terang dan cantik. Dalam kategori harga jualan begini, ini adalah skrin paling memuaskan tempat kedua selepas peranti mercu premium.

Prestasi walaupun kejap ok dan kejap tidak, tiada masalah memanas dan kemaskini isu kritikal dibaiki dengan pantas – saya boleh maafkan. Antara sebab saya gemar menggunakan peranti mercu adalah kamera dan prestasi, tetapi Poco F3 membuktikan yang peranti mereka sudah lebih daripada cukup. Ini serius, jika bajet bawah RM1700 dan inginkan peranti terbaik ini adalah pilihannya.

Seperti Poco F1 yang terkenal sebagai pembunuh peranti mercu yang merampas takhta OnePlus, Poco F2 pula dilangkau – Poco F3 adalah kelahiran semula pembunuh peranti mercu untuk generasi baru.


Pro

  • Rekaan dan binaan yang premium, mewah, cantik, ringkas dan minimal.
  • Skrin OLED yang cukup cantik dan terang serta rekaan bezel nipis.
  • Prestasi Snapdragon 870 cukup baik tanpa isu memanas seakan Snapdragon 888.
  • Pembesar suara stereo yang lantang.
  • Kamera makro yang menakjubkan.
  • Sokongan kemaskini konsisten selama tiga tahun.

Kontra

  • Menangkap kotoran cap jari yang banyak.
  • 120Hz tidak konsisten, apabila tidak berfungsi ia menjadi lengah masa.
  • MIUI for Poco tidak cukup baik dalam pengurusan memori apabila sudah digunakan untuk beberapa hari.
  • Kamera yang baik, tetapi sistem AI yang tidak konsisten membuatkan ia tidak memuaskan.
  • Bateri yang lemah dan tidak mampu bertahan seperti yang dijangka.
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd