Intel Mungkin Akan Mengilangkan Cip Pemprosesan Untuk Industri Automotif Dalam Masa Setahun

Diterbitkan pada Apr 13, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Setelah Pat Gelsinger menggantikan Bob Swan sebagai CEO Intel, beliau telah mengumumkan sejumlah besar pelan-pelan baru untuk memastikan syarikat pembuat cip dan semikonduktor tersebut bangkit semula di arena perkomputeran setelah jauh ditinggalkan oleha syarikat-syarikat seperti AMD, NVIDIA, TSMC dan sebagainya.

Terkini, dalam sebuah temubual bersama Reuters, Pat Gelsinger menyatakan hasrat Intel untuk membantu pereka cip industri automotif untuk mengilangkan cip-cip pemprosesan mereka menggunakan kelengkapan Intel sedia ada.

Intel dikatakan sedang dalam perbincangan dengan syarikat-syarikat automotif seperti General Motors dan Ford untuk mengilangkan cip-cip pemprosesan mereka untuk mengurangkan kebergantungan kepada syarikat-syarikat pembuat cip pemprosesan luar seperti TSMC dan Samsung, khususnya apabila syarikat-syarikat tersebut sendiri menghadapi isu untuk mengilangkan cip-cip pemprosesan sedia ada.

Intel baru-baru ini telah memperlihatkan pelan IDM 2.0 dimana mereka bukan sahaja ingin membangunkan cip-cip pemprosesan komputer dan grafik mereka sendiri menggunakan proses binaan moden, tetapi juga untuk menggunakan kilang dan kelengkapan sedia-ada mereka untuk membangunkan cip-cip pemprosesan untuk syarikat-syarikat lain.

Jika perbincangan diantara syarikat-syarikat ini membuahkan hasil, Intel dijangka boleh mula mengilangkan cip-cip pemprosesan untuk syarikat-syarikat automotif ini dalam masa enam ke sembilan bulan akan datang, dan akan dikilangkan di pusat-pusat pengilangan Intel di Amerika Syarikat, Israel ataupun Ireland.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami