Cari @ Amanz

Siri komputer riba gaming Alienware dan Dell G15 Gaming yang dikuasakan CPU AMD dan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3000 akan hadir pada bulan Mei kelak untuk mereka yang inginkan komputer riba dengan komponen gaming terbaru.

Bagi mereka yang lebih memerlukan sebuah komputer riba untuk tujuan produktiviti di pejabat, rumah ataupun di luar, Dell Malaysia mengumumkan bahawa siri komputer riba Dell Inspiron yang dikuasakan pilihan siri CPU AMD Ryzen 5000 dan Intel generasi ke-11 Tiger Lake seawal pertengahan bulan ini. Ini termasuklah Dell Inspiron 14, Inspiron 14 2-in-1, Inspiron 15 dan Inspiron 16 Plus.

Bermula dengan Dell Inspiron 14 dan Inspiron 15, kedua-dua komputer riba ini hadir dengan paparan IPS bersaiz 14 dan 15.6 inci yang mempunyai resolusi Full HD (1920×1080). Spesifikasi permulaan model Inspiron 14 hadir dengan dua pilihan CPU, termasuklah dari AMD Ryzen 5 5000 ataupun Intel Core i5 Tiger Lake, memori DDR4 sebanyak 8GB dengan storan SSD sebesar 512GB.

Untuk model Inspiron 15 pula, pilihan CPU bermula dari CPU Intel Core i5 Tiger Lake-U, memori DDR4 8GB dan storan SSD sebesar 256GB ataupun 512GB.

Dari segi cip grafik, Inspiron 14 menggunakan cip grafik yang terbina didalam CPU, manakala untuk model Inspiron 15, ia hadir dengan pilihan cip grafik terbina ataupun cip grafik NVIDIA GeForce RTX 3050.

Diantara ciri tambahan yang hadir pada komputer riba Dell Inspiron 14 dan Inspiron 15 termasuklah pengimbas di bahagian paparan yang akan terus mengaktifkan paparan daripada mod tidur apabila dibuka. Bagi mereka yang mahukan cara melog masuk tanpa menggunakan kata laluan, Inspiron 14 dan Inspiron 15 juga hadir dengan pilihan pengimbas cap jari jika diingini.

Komputer-komputer riba ini juga dilengkapi sistem pengecasan pantas ExpressCharge dimana yang boleh mengecas bateri dari kosong ke 80 peratus dalam masa 60 minit.

Beralih kepada Dell Inspiron 14 2-in-1, komputer riba ini boleh dipusingkan paparannya untuk dijadikan sebuah tablet. Ia hadir dengan paparan bersaiz 14 inci dengan resolusi Full HD dengan fungsi sesentuh terbina.

Model permulaan Dell Inspiron 14 2-in-1 ini dikuasakan oleh pilihan CPU Intel Core i3 generasi ke-11 Tiger Lake-U, memori DDR4 sebanyak 8GB dan juga storan dalaman sebesar 256GB.

Dell Inspiron 16 Plus ialah mesin produktiviti dan riadah untuk mereka yang mahukan sebuah komputer riba dengan paparan skrin yang besar.

Ia dilengkapi paparan IPS bersaiz 16 inci dengan resolusi 3K (3072×1920) dengan nisbah paparan 16:10 dengan rekaan bingkai yang sangat nipis.

Dell Inspiron 16 Plus ini juga adalah satu-satunya model komputer riba didalam siri ini yang dikuasakan oleh CPU Intel Core generasi ke-11 Tiger Lake-H, dan hadir dengan memori DDR4 sebanyak 8GB dan storan SSD sebesar 512GB.

Dari segi pilihan GPU, Dell Inspiron 16 Plus ini juga hadir dengan pilihan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3000 yang terbaru, menjadikannya komputer riba yang paling berkuasa dalam siri ini.

Menurut Dell Malaysia, Dell Inspiron 14, 15 dan 14 2-in-1 akan mula tiba di pasaran sekitar pertengahan bulan ini (April 2021) dengan tanda harga yang akan diumumkan kelak.

Dell Inspiron 15 dan Inspiron 16 Plus yang hadir dengan pilihan CPU Intel Tiger Lake-H pula akan mula dijual di Malaysia sekitar bulan Jun kelak. Tanda harga untuk siri komputer riba ini juga akan diumumkan kelak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd