Ulasan Realme Narzo 30A – Hanyalah Sebuah Narzo 20 Yang Lebih Murah

Diterbitkan pada Apr 19, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Pada awalnya, siri Realme Narzo adalah khusus buat pasaran India sahaja. Tidak lama kemudian, ia mula diperluaskan lagi penawarannya kepada beberapa pasaran lain termasuklah Malaysia sendiri. Melaluinya, model-model yang telah diperkenalkan seperti Realme Narzo 10, Realme Narzo 10A, Realme Narzo 20, Realme Narzo 20A, Realme Narzo 20 Pro, Realme Narzo 30A dan Realme Narzo 30 Pro. Sekadar makluman, kita di Malaysia tidak menerima penawaran untuk Realme Narzo 10 dan Narzo 10A. Namun begitu, penawaran padanya sebenarnya mirip sahaja seperti Realme 6i dan Realme C3.

Cukuplah bercerita mengenai susur galur siri Realme Narzo. Berbalik kepada topik asal artikel ini yang akan memfokuskan kepada Realme Narzo 30A. Cuba anda baca pada tajuk artikel ini dan pastinya anda tertanya-tanya, mengapa peranti ini dikatakan hanyalah sebuah Realme Narzo 20 yang lebih murah? Jawapannya mudah, baca artikel ini sehingga ke penghujung dan persoalan ini akan terjawab.


Spesifikasi Ringkas Peranti

Realme Narzo 30A
Skrin6.5″ IPS LCD, HD+ (720 x 1600), (~270 ppi)
PemprosesMediaTek Helio G85 (12nm)
Cip2 x 2.0 GHz Cortex-A75
6 x 1.8 GHz Cortex-A55
Cip GrafikMali-G52 MC2
RAM4GB
Muatan Dalaman64GB eMMC 5.1 (Mikro SD sehingga 256GB)
Kamera Utama13 + 2-Megapixel
Kamera Swafoto8-Megapixel f/2.0
Bateri6000mAh
Pengecasan berwayar 18W
SIM/TelefoniSIM Nano + SIM Nano + MicroSD
NFCTiada
Bicu AudioAda
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas jari fizikal & Imbasan Wajah
Harga JualanRM599

Rekaan

Secara kasarnya, apa yang kami perasan. Realme 30A ini mirip sangat dengan Realme Narzo 20 sebelum ini. Tetapi masih ada beberapa bahagian pada peranti pintar yang diubahsuai. Misalnya, paling ketara di sini adalah pada bahagian kemasan. Memang tidak dinafikan, terdapat perbezaan yang amat ketara dibuat di sini. Seingat kami, penjenamaan ‘Narzo’ pada panel belakang peranti untuk model-model yang sebelum ini diletakkan pada bahagian bawah.

Tetapi untuk kali ini, ia telah diubah secara drastik dengan meletakkannya pada bahagian atas pula. Melaluinya, ianya kini berada di bawah modul kamera pula. Bagaimanapun tidak dapat dipastikan mengapa Realme berbuat demikian untuk model kali ini. Tetapi, kita boleh menyasarkan mereka mungkin mahukan kelainan dengan mencuba sesuatu gaya yang baru. Ataupun, mereka mahu bereksperimentasi dengan pelbagai pengalaman baru yang menarik. Siapa tahu bukan?

Seperkara lagi, perlu diakui yang mana kemasan panel belakang pada peranti ini turut mengingatkan kami kepada sejumlah model di bawah siri Realme C mereka. Ia tidaklah sepenuhnya sama tetapi kemasan berjalur sebegini kerap kita temui pada siri Realme C – misalnya seperti Realme C15,  Realme C12 dan sebagainya.

Meskipun begitu, kemasan yang menghiasi panel belakang Realme Narzo 30A ini nampak lebih menonjol dan tersirat mesej tersendiri. Boleh dikatakan ia mungkin agak sesuai dengan cita rasa anak muda yang mengutamakan gaya ringkas, ranggi dan moden. Kemudian, pilihan warna yang disertakan dengan unsur ‘moden’ menampakkan penampilan catchy cara anak muda.

Melaluinya, kelihatan coraknya membahagikan panel belakang ini kepada dua bahagian dengan tampilan yang berbeza. Di mana, bahagian atas kelihatan rata kemudian terdapat pengimbas cap jari fizikal berbentuk buat yang ditempatkan di tengah-tengah. Ia berfungsi dengan baik-baik sahaja dan terletak dengan baik di tempat yang mudah untuk dicapai. Sementara itu, bahagian bawahnya dihiasi rekaan bertekstur yang membantu dalam memberikan cengkaman cukup baik. Terdapat dua pilihan warna yang boleh dipilih – seperti Laser Blue dan Laser Black.

Peranti ini juga terasa kukuh di genggaman, tetapi terasa sangat berat kerana memiliki jisim sekitar 208gram. Bukan itu sahaja, binaannya juga didapati lebih tebal berbanding kebanyakan peranti pintar di pasaran masa kini. Ini adalah keadaan yang sama saya alami ketika membuat ulasan untuk Realme C12 dan Realme C15 sebelum ini. Seperti biasa, ini mungkin disebabkan oleh penggunaan bateri besar 6000mAh padanya.

Butang kuasa dan laras suara diletakkan pada sisi kanan. Binaannya terasa baik  dengan kemasan yang diperbuat daripada bahan plastik. Kemudian, slot ruangan SIM pula terletak di sebelah sisi kiri dan ia menyokong sehingga tiga slot kad berbeza. Di mana, anda boleh menggunakan dua kad Nano-Sim dan satu microSD secara serentak tanpa masalah. Seterusnya, Realme Narzo 30A mempunyai sokongan port sambungan USB-C, bicu audio 3.5mm dan pembesar suara pada bahagian sisi bawah peranti.


Paparan

Bergerak ke bahagian hadapan, skrin yang digunakan adalah sejenis bertakuk kecil untuk perletakan kamera hadapan. Saiznya di sini adalah standard sama seperti sejumlah peranti Realme sedia ada iaitu 6.5-inci IPS LCD dengan resolusi HD+ (1600 x 720 piksel). Di sini terdapat sedikit komen yang kami ingin berikan. Rasanya, tidak salah sekiranya Realme cuba memberi skrin FHD+ di sini.

Sekurang-kurangnya pengalaman penggunaan itu pastinya akan lebih baik. Ini tidak, mereka nampaknya agak kedekut untuk memberinya. Sedangkan, sudah terdapat pesaing terdekat dalam kelas dan julat harga yang sama berani untuk menyertakan fungsi berkenaan pada peranti keluaran mereka. Skrinnya juga adalah sejenis rata dengan bezel yang agak tebal. Rasanya, ia seakan sudah sedia sebati dengan DNA pada peranti Realme. Mengapa? Boleh dikatakan kebanyakan peranti pintar keluaran mereka disertakan dengan bezel yang tebal pada bahagian dagu.

Meskipun, kami ada memberikan komen berbaur negatif dalam beberapa perenggan di atas. Namun, prestasi skrin pada peranti ini masih memadai untuk penggunaan harian biasa. Ia mampu memberi paparan yang terang bersama penghasilan warna dan sudut tontonan yang nampak baik-baik sahaja. Sekiranya anda sering menggunakan peranti pintar dengan resolusi FHD+, tidak dinafikan anda akan mendapati skrin peranti ini mudah menampakkan piksel. Terutamanya, ketika anda menggunakannya untuk membaca teks atau melihat keperincian imej pada gambar. Namun, rasanya ia bukan masalah yang besar bagi mereka yang sekadar mahu membeli peranti pintar untuk kegunaan harian.


Prestasi

Realme Narzo 30A menggunakan cip MediaTek Helio G85. Perasan atau tidak, ini juga adalah cip yang sama diguna pakai pada Realme Narzo 20 sebelum ini. Bukan itu sahaja, sokongan untuk ruang memorinya juga sama dengan padanan 4GB RAM dan storan dalaman 64GB. Akan tetapi, bagi yang merasakan ruangan ini tidak mencukupi. Ia masih turut boleh diperluaskan lagi menggunakan kad mikro SD sehingga 256GB.

Meskipun cip ini bukanlah yang terkini, tetapi ia masih mampu menggalas sejumlah tugasan harian dengan baik. Menggunakannya sebagai telefon untuk media sosial atau melayari web juga terasa baik-baik sahaja. Cumanya, ada ketika masalah lengah masa itu akan berlaku untuk sesetengah situasi.

Di mana, anda akan perasan sesetengah aplikasi akan mula mengambil masa yang lebih lama daripada biasa untuk dibuka apabila terlalu banyak aplikasi digunakan dalam satu masa. Pengalaman menatal juga menjadi kurang lancar dan peralihan animasi mula menimbulkan rasa yang kurang memuaskan.

Untuk prestasi permainan pula, ia juga mampu memainkan kebanyakan permua dengan baik pada tetapan grafik yang sederhana. Meskipun, adakalanya terdapat masalah lengah masa yang berlaku. Perkara ini boleh sahaja diatasi dengan cara menurunkan tetapan grafik ke tahap yang lebih rendah. Dari segi pengeluaran suhu, ia terasa suam apabila dimainkan pada sekitar melebihi 15 minit.

Sebelum terlupa, perisian yang digunakan pula masih lagi Realme UI berasaskan Android 10. Agak mengecewakan di sini kerana sejumlah pesaing dalam kelas yang sama telah sedia hadir dengan penawaran Android 11. Melaluinya juga, anda akan temui fungsi sedia ada padanya seperti mod gelap, ciri navigasi serba baharu dan banyak lagi. Realme memaklumkan, ia bagaimanapun akan dikemaskini dengan sokongan Realme UI 2.0 tidak lama lagi.


Kamera

Menyentuh soal kamera pula, anda pasti akan perasan modul kameranya di sini berbentuk segi empat dengan empat bulatan di dalamnya bukan? Jelas kelihatan, salah satu daripadanya adalah LED Flash. Selebihnya pula akan memperlihatkan seolah-olah penggunaan tiga buah sensor. Akan tetapi, mesra untuk kami ingatkan, anda jangan tertipu dengan apa yang anda lihat di sini. Sebabnya, ia hanya mempunyai dua sensor kamera sahaja. Satu lagi hanyalah hiasan dengan logo AI yang dibulat.

Perasan apa yang kami katakan diawal perenggan tadi? Ada sebahagian ciri dan spesifikasi pada Realme Narzo 30A yang diubah bukan? Inilah dia. Jika anda masih ingat, Realme Narzo 20 sebelum ini menggunakan sistem tri-kamera dengan sensor 48-Megapixel. Tetapi, Realme Narzo 30A ini pula hanya disertakan dengan dua sensor. Bukan itu sahaja, malah sensor utamanya juga lebih kecil menerusi sokongan 13-Megapixel yang diikuti dengan sensor kedua pula 2-Megapixel untuk tujuan monokrom. Kemudian, gambar swafoto pula boleh diambil menggunakan sensor hadapan 8-Megapixel.

Untuk prestasi kamera, rasanya kami tidak meletakkan penanda aras tinggi terhadap penghasilannya. Untuk penggambaran pada pencahayaan yang cukup, kualitinya dilihat baik-baik sahaja dan boleh diterima. Penghasilan warna untuk kebanyakan situasi nampak memuaskan dengan butiran yang baik-baik sahaja.

Ia juga masih boleh menangkap gambar pada pencahayaan yang rendah. Tetapi, hasilnya kurang memuaskan dengan masalah hingar yang ketara. Pada masa sama, butiran pada imej juga dilihat kurang memuaskan. Untuk gambar swafoto juga masih boleh diterima. Ianya terang dan terdapat juga fungsi AI Beauty dengan membolehkan pengguna mengawal aras kecantikan mengikut keperluan. Untuk rakaman video, ia mempunyai tetapan rakaman tertinggi sehingga 1080P/30fps. Ianya dilihat memadai untuk kegunaan harian. Tapi sayangnya, tiada sebarang mod penstabilan khusus yang disertakan bersama-sama dengannya.


Bateri

Akhir sekali, bateri. Realme sememangnya tidak lokek untuk memberikan bateri dengan kapasiti yang besar pada sejumlah peranti keluaran mereka. Sama seperti Realme Narzo 30A ini sendiri, ia dibekalkan bateri 6,000mAh yang dirasakan mencukupi untuk kegunaan harian segelintir pengguna hari ini. Ini juga adalah Kapasiti bateri yang sama seperti pada Realme C12 dan Realme C15.

Melaluinya, Realme Narzo 30A mampu mencatatkan masa Screen-on-Time (SoT) yang baik – dengan bacaan sekitar hampir 10 jam dalam penggunaan yang sederhana. Ia bagaimanapun mungkin akan berbeza mengikut corak penggunaan masing-masing. Boleh mencecah sehingga dua hari tanpa sebarang masalah dengan penggunaan yang ringan. Apa-apapun, ia masih boleh dikatakan satu hal yang memuaskan. Untuk pengecasan semula, peranti ini disertakan pengecas berasaskan 18W. Melalui pengecas ini, peranti ini dapat dicas sekitar 2 jam lebih dari untuk benar-benar penuh.


Perbandingan Pesaing Peranti

Realme Narzo 30ANokia 5.4Vivo Y31
6.5″ IPS LCD, HD+ (720 x 1600), (~270 ppi)6.39″ IPS LCD, HD+ (720 x 1560), (~269 ppi)6.58″ IPS LCD, FHD+ (1080 x 2408) (~401 ppii)
MediaTek Helio G85 (12nm)
2 x 2.0 GHz Cortex-A75
6 x 1.8 GHz Cortex-A55
Snapdragon 662 (11 nm)
4 x 2.0 GHz Kryo 260 Gold
4 x 1.8 GHz Kryo 260 Silver
Snapdragon 662 (11 nm)
4 x 2.0 GHz Kryo 260 Gold
4 x 1.8 GHz Kryo 260 Silver
Mali-G52 MC2Adreno 610Adreno 610
4GB RAM4GB RAM8GB RAM
64GB 128GB 128GB UFS 2.1
Kamera Utama
13 + 2-Megapixel
Kamera Utama
48 + 5 + 2 + 2-Megapixel
Kamera Utama
48 + 2 + 2-Megapixel
Kamera Hadapan
8-Megapixel f/2.0
Kamera Hadapan
16-Megapixel f/2.0
Kamera Hadapan
16-Megapixel f/2.0
Tidak kalis airTidak kalis airTidak kalir air
Bicu Audio Bicu audioBicu audio
Mono SpeakerMono SpeakerMono Speaker
6000mAh (Berwayar 18W)4000mAh (Berwayar 10W)5000mAh (Berwayar 18W)
Harga RM599Harga RM899Harga RM999

Kesimpulan

Secara ringkasnya, tidak keterlaluan untuk kami katakan Realme Narzo 30A hanyalah sebuah Realme Narzo 20 yang lebih murah. Jika anda merupakan pemilik Realme Narzo 20, rasanya tidak ada keperluan untuk bertukar kepada peranti ini. Malahan, penawaran pada Realem Narzo 20 dirasakan lebih baik berbanding peranti ini.

Untuk kebanyakan perkata, ia mungkin bukan peranti yang sempurna. Ditambah lagi dengan beberapa ‘pengorbanan’ dalam spesifikasi yang dibuat. Tetapi, ia adalah sebuah peranti yang masih bersesuaian untuk kegunaan harian. Ia juga memberikan kecekapan yang baik untuk kegunaan asas sesebuah telefon pintar. Pujian turut diberikan kepada rekaan dan hayat bateri yang baik

Justeru, anda boleh mempertimbangkan untuk membeli Realme Narzo 30A jika mahukan peranti dengan keupayaan bateri yang tahan lama. Jika prestasi menjadi keutamaan dan anda adalah pemain permua yang tegar, rasanya ia tidak disyorkan sama sekali. Bagi yang berminat, anda boleh membelinya pada tanda harga RM599 sebuah menerusi pelbagai platform terpilih – seperti Lazada, Shopee dan pengedar sah Realme di seluruh Malaysia.

Pro

  • Paparan memadai untuk penggunaan harian.
  • Pemproses baik untuk kegunaan harian yang asas.
  • Pengimbas cap jari yang pantas.
  • Tahap ketahanan bateri yang baik.

Kontra

  • Kemasan yang agak membosankan.
  • Binaan dagu yang masih tebal.
  • Masih lagi disertakan dengan Android 10

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami