Cari @ Amanz

Grab merupakan salah satu aplikasi yang tidak asing bagi ramai pengguna di Malaysia. Ia yang memulakan operasi sebagai MyTeksi, telah mengubah nama kepada Grab, seterusnya bukan sahaja memfokuskan kepada perkhidmatan seru-pandu, tetapi turut memperluaskan penawaran kepada perkhidmatan penghantaran makanan dan juga kewangan.

Hari ini, Grab Holdings turut mengumumkan mereka ingin melakukan penyenaraian awam di Amerika Syarikat tidak lama lagi, hasil kerjasama dengan pihak Altimeter Growth Corp.

Penyenaraian awam ini dijangka menjadi antara penawaran ekuiti terbesar di Amerika Syarikat oleh firma dari Asia Tenggara.

Grab dinilaikan dengan nilai awal sekitar $39.6 bilion dengan suntikan pelaburan daripada sejumlah pihak melalui Altimeter – termasuk pihak Permodalan Nasional Berhad. Grab dijangka akan didagangkan di NASDAQ dibawah nama dagangan “GRAB” dalam beberapa bulan lagi.

Bersama-sama pengumuman ini juga,  Grab turut berkongsi beberapa angka menarik. Menurut Grab, pada tahun 2020 lepas, mereka melihat nilai transaksi berjumlah US$12.5 bilion melalui platform mereka. Disamping itu, Grab turut mengatakan mempunyai pegangan nilai transaksi sebanyak 72% di rantau Asia Tenggara untuk perkhidmatan seru-pandu, selain 50% untuk transaksi pembelian makanan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd