Microsoft hari ini mengumumkan kemaskini untuk komputer riba dibawah siri Surface, iaitu Surface Laptop 4. Komputer riba ini dilihat sebagai pesaing kepada MacBook Air daripada pihak Microsoft.
Surface Laptop 4 hadir dengan pilihan cip Intel Gen-11 atau AMD Ryzen 4000, dan menawarkan pilihan skrin 13.5-inci dan juga 15-inci.
Penawaran lain adalah lebih kurang sama seperti Surface Laptop 3 sebelum ini. Microsoft mengatakan ia menawarkan kuasa pemprosesan lebih 70% berbanding generasi sebelum ini, dan menawarkan masa penggunaan bateri sehingga 19 jam lamanya.
Surface Laptop 4 turut hadir dengan pilihan storan sehingga 1TB, selain dilengkapi dengan sokongan audio Dolby Atmos, selain kamera 720p untuk panggilan video.
Surface Laptop 4 menyertakan sokongan skrin sentuh – disamping port USB penuh bersama-sama dengannya.
Buat masa ini, Surface Laptop 4 hanya diumumkan untuk pasaran Amerika Syarikat dan Jepun sahaja. Kita mungkin mendengar pelancarannya ke negara-negara lain dalam masa terdekat ini.