Awal tahun ini Mobvoi telah melancarkan satu peranti boleh pakai baharu khusus untuk pasaran China, TicWatch GTH. Ia adalah penjejak kesihatan dengan skrin segi empat seakan Apple Watch, atau jam tangan pintar asas dengan sensor membaca suhu kulit pengguna. Kini, Mobvoi melancarkan peranti boleh pakai ini secara global.
Skrin adalah 1.5-inci panel TFT dengan kaca 2.5D. Kerangka adalah besi yang dipadankan dengan tali jam TPU yang boleh ditukar. Seperti kebanyakan jam tangan pintar asas Mi Watch Lite atau Realme Watch, TicWatch GTH turut memuatkan sensor imbasan nadi optikal, pemecut 3-paksi, sensor off-body masa pendam rendah, sensor suhu kulit, mampu membaca nilai SpO2, dan juga sensor pernafasan. Ia mempunyai perlindungan 5 ATM dan bateri 260mAh untuk ketahanan mencapai 7 hari.
Seperti kesemua jam Mobvoi, aplikasi TicExercise, TicHealth, TicZen, dan TicBreathe ditawarkan untuk pemantauan kecergasan. Terdapat 14 mod sukan, mampu mengesan senaman secara automatik, pemantauan tidur, menjejak tekanan dan banyak lagi. Harga jualan adalah $79.99, iaitu sekitar RM330. Tiada informasi lagi sama ada ia akan dijual di Malaysia ataupun tidak.
Jam tangan pintar asas TicWatch GTH bukannya pertama dari mereka. Sebelum ini adalah GTX dengan skrin bulat. GTX adalah pertama daripada Mobvoi yang menjalankan sistem tersendiri dan bukannya Wear OS. Pengalaman kami agak mengecewakan, harapnya GTH ini telah ada penambahbaikan dari segi perisian. RM300 agak mahal untuk jam asas jika dibandingkan jenama lain yang ada penawaran lebih menarik.