Cari @ Amanz

Bagi yang tidak tahu, Roku adalah antara yang terawal menawarkan kemampuan menstrim Netflix pada skrin lebih besar. Sebelum Android TV menjadi popular dan Google hadir dengan iterasi tersendiri, Google TV – Roku sudah lama menawarkan sistem operasi televisyen pintar tersendiri yang digemari ramai. Walau bagaimanapun, sistem Roku adalah terhad di pasaran terpilih dan tidak meluas. TCL juga ada melancarkan televisyen pintar dengan sistem operasi Roku TV.

Terkini, Roku telah melancarkan alat kawalan jauh baharu yang mereka katakan adalah versi Pro. Diberi nama Roku Voice Remote Pro, alat kawalan jauh ini boleh disambungkan dengan set fon telinga berwayar untuk menonton di televisyen tetapi mendengar secara peribadi. Bukan itu sahaja, sokongan penjejakan juga ditawarkan untuk menjejal jika alat kawalan jauh hilang. Memandangkan namanya sendiri ada voice, ia juga menyokong kawalan suara. Paling menarik, setakat ini Roku adalah satu-satunya alat kawalan jauh untuk set kotak te;evisyen pintar yang mempunyai butang fizikal akses pantas ke Apple TV. Butang Apple TV ini juga dilihat hanya ditawarkan di pasaran Eropah terpilih, kerana di Amerika ia dilihat akses kepada Hulu.

Alat kawalan jauh ini juga boleh dicas, tetapi ia masih microUSB. Roku Voice Remote Pro ini terhad digunakan pada peranti-peranti Roku TV terpilih. Ia dijual pada harga $29.99 iaitu sekitar RM124.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd