Cari @ Amanz

Sewaktu acara Consumer Electronics Show yang berlangsung pada bulan Januari yang lalu, MSI telah melancarkan sejumlah komputer riba produktiviti dan juga gaming untuk tatapan umum yang menggunakan komponen-komponen terbaru bersama rekaan komputer riba yang dikemaskini.

Salah satu daripada komputer riba tersebut ialah MSI GE76 Dragon Edition Tiamat, iaitu sebuah komputer riba gaming berkuasa mutlak yang juga hadir dalam jumlah terhad. MSI Malaysia hari ini mengumumkan bahawa komputer riba tersebut bakal memasuki pasaran tempatan tidak lama lagi.

Salah satu keunikan utama pada komputer riba ini ialah ukiran naga di bahagian belakang paparan yang bernama Tiamat yang mempunyai sejarahnya sendiri dalam tamadun Sumeria. Rekaan Rekaan yang diinspirasikan tamadun Babylon juga dapat dilihat sedikit di bahagian tempat letak tangan dibawah papan kekunci.

Beralih kepada spesifikasi dalaman komputer riba ini, untuk pasaran Malaysia, MSI Malaysia akan membawa masuk model yang hadir dengan paparan skrin bersaiz 17.3 inci dengan resolusi Full HD dengan kadar segar semula 300Hz dan gamut warna sRGB menghampiri 100 peratus.

Dari segi komponen, MSI GE76 Dragon Edition Tiamat ini akan dikuasakan oleh CPU Intel Core i7-10870H, memori DDR4 sebanyak 32GB dan storan SSD NVMe PCIe sebesar 2TB. Dari segi grafik pula, komputer riba ini akan dilengkapi dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3070 yang mempunyai memori GDDR6 sebanyak 8GB.

Menyejukkan komponen-komponen ini ialah sistem penyejukan MSI terbaru, iaitu CoolerBoost 5 yang akan memastikan komputer riba anda beroperasi pada tahap optimum tidak kira corak penggunaan anda.

Dari segi ciri tambahan, MSI GE76 Dragon Edition Tiamat ini juga hadir dengan ciri Resizable BAR melalui NVIDIA yang membantu meningkatkan prestasi grafik permainan komputer. Komputer riba ini juga hadir dengan sokongan untuk sambungan internet nirwayar WiFi 6E yang menjanjikan kadar muat-turun dan muat-naik data yang lebih stabil berbanding sebelum ini.

Bagi mereka yang berminat untuk memiliki komputer riba gergasi ini, MSI Malaysia mengumumkan bahawa pra-tempahan untuk komputer riba ini sudahpun dibuka melalui kedai atas talian MSI Malaysia di Shopee dan Lazada. Ia boleh ditempah pada harga RM11,499.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd