Siri Oppo Reno5 kini dilihat menerima satu lagi kehadiran ahli baharu menerusi pengenalan Oppo Reno5 F. Ia menjadi model terkini di bawah siri berkenaan – sekaligus menyertai Oppo Reno5 dan Oppo Reno5 Pro yang dilancarkan sekitar Januari lalu. Melihat pada penawarannya, siri Oppo Reno5 masih membawakan DNA yang terdapat pada pendahulunya. Di mana, keupayaan kamera masih menjadi fokus utama.
Tetapi, ia ditambahbaik dengan perisian serba baharu lebih menarik bagi menyerlah lagi bakat fofotgrafi para pengguna. Bagi yang berminat,Oppo Reno5 dijual pada harga RM1,899. Sementara itu, Oppo Reno5 Pro pula berharga RM2,599. Anda boleh mendapatkannya menerusi beberapa platform berbeza termasuklah – Lazada, Shopee dan kedai atas talian rasmi Oppo.
Berbalik kepada topik asal iaitu Oppo Reno5 F, peranti ini telah dirasmikan di Malaysia dengan tanda harga RM1199. Secara kasarnya, terdapat beberapa perubahan kecil yang telah dibuat oleh Oppo pada model baharu ini. Ini termasuklah penawaran dari segi dalaman dan juga luaran. Jadi, apakah kelainan yang dibawakan oleh Oppo untuk kali ini? Persoalan itu pastinya akan terjawab dalam artikel pandang pertama ini. Teruskan membaca…
Spesifikasi Ringkas Peranti :
Oppo Reno5 F | |
---|---|
Jenis | Peranti Pintar |
Paparan | 6.43-inci FHD+ AMOLED, 60Hz |
Pemproses | Mediatek MT6779V Helio P95 (12nm) |
Cip | 2 x 2.2 GHz Cortex-A75 6 x 2.0 GHz Cortex-A55 |
Cip Grafik | PowerVR GM9446 |
RAM | 8GB |
Muatan Dalaman | 128GB |
Kamera Utama | 48 MP ( f/1.7 ) – (Utama) 8 MP ( f/2.2 ) – (Sudut-Lebar) 2 MP ( f/2.4 ) – (Makro) 2 MP ( f/2.4 ) – (Mono) |
Kamera Depan | 32 MP (f/2.4) |
Bateri | 4310mAh + 30W VOOC Flash Charge 4.0 |
Sim / Telefoni | Nano SIM + Nano SIM + MicroSD |
Ketahanan Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Pengimbas Cap Jari + Imbasan Wajah |
Harga Jualan | RM1,199 |
Rekaan
Seperti yang dikatakan tadi, terdapat beberapa perubahan kecil yang dibuat pada Oppo Reno5 F – lebih-lebih lagi pada panel belakang. Di mana, ia menampilkan rekaan yang cukup berbeza dengan apa yang kita boleh jumpa pada model-model di bawah siri Reno5 yang sebelum ini. Modul kameranya kali ini lebih menonjol dengan bonggol yang agak tebal. Dengan rekaan sebegini, ia sebenarnya boleh mengakibatkan beberapa kerosakan yang mungkin tidak disengajakan. Misalnya, meletakkannya secara tidak cermat akan mengakibatkan kerosakan pada permukaan modul kameranya.
Kalau anda perasan, setiap satu sensornya juga kini disusun rata di dalam modul kamera berkenaan. Ini bermakna, tiada lagi bonggol-bonggol berasingan yang akan kelihatan sepertimana yang terdapat pada Reno5 dan Reno5 Pro sebelum ini. Turut kelihatan, terdapatnya sokongan LED Flash dalam bentuk memanjang yang diluar bonggol kamera ini.
Bagi menampakkan peranti pintar ini lebih cantik, kemasan berkilat dengan kemasan warna cerun digunakan di sini. Secara tidak langsung, ia dilihat menyerlahkan lagi nilai kosmetik pada peranti ini. Tidak dinafikan, kemasan sebegini bukanlah suatu perkara baharu untuk sejumlah peranti keluaran Oppo. Tetapi, gaya persembahan yang cuba diperlihatan di sini masih boleh dikatakan agak menarik. Ditambah lagi dengan efek pantulan cahaya yang menarik untuk dilihat. Ia jelas menunjukkan Oppo bijak dalam usaha menjadikan peranti-peranti mereka seakan berada dalam kelas yang tersendiri.
Namun begitu, secantik manapun kemasan ini. Anda perlu tahu bahawa ia sebenarnya turut mendatangkan beberapa masalah kepada pengguna. Antara yang paling ketara adalah masalah kotoran cap jari yang mudah melekat. Sehinggakan ada satu ketika, kami terdapat mengelap panel belakang ini dengan kerap bagi membersihkan kotoran berkenaan. Bukan itu sahaja, panel belakang yang sebegini juga terasa agak licin untuk dipegang. Kemudian, ia juga terlalu mudah terdedah kepada calar-calar halus yang mungkin tidak disengajakan. Kebiasannya, ia melibatkan kesan calar daripada kunci kereta atau sebarang benda yang tajam.
Oleh itu, sekiranya anda mahu lebih selamat dan peranti kekal cantik. Kami lebih menyarankan anda untuk menggunakan kerangka pelindung bersama-sama peranti ini. Jika tidak mahu mengeluarkan duit lebih, jangan risau kerana Oppo masih memberikan kerangka pelindung silikon asas yang disediakan secara percuma di dalam setiap kotak pembelian.
Unit ulasan yang kami terima ini bewarna Fluid Black. Jika diperhatikan dengan lebih dekat pada panel belakang ini – ia memperlihatkan gabungan dua warna iaitu kelabu dan hitam yang gelap. Kebiasannya, kemasan sebegini lebih menjadi pilihan golongan adam yang mahukan kemasan elegen. Akan tetapi, sekiranya mahukan kemasan yang lebih menampakkan kelainan – masih terdapat dua lagi pilihan warna lain yang terdiri dengan Fantastic Purple dan Crystal Silver.
Seperkara lagi di sini, kalau perasan panel belakang ini langsung tidak terdapatnya sokongan pengimbas untuk cari jari fizikal bukan? Ini kerana, Oppo Reno5 F ini menggunakan tetapan pengimbas cap jari terbina pada skrin yang dikenali sebagai In-Display Fingerprint 3.0. Sebagai alternatif, anda juga boleh menggunakan sistem imbasan wajah yang disertakan bersama-sama dengannya.
Bergerak ke bahagian sisi, sejumlah butang penting dibina dengan baik. Melaluinya, butang kuasa yang bewarna hitam berkilat diletakkan pada sisi kanan. Kemudian, sisi kiri pula terdapatnya butang laras suara dan ruang untuk slot SIM. Semetara itu, port sambungan penting seperti port USB-C pula diletakkan pada bahagaian bawah bersama-sama dengan pembesar suara mono. Tidak ketinggalan, Oppo Reno5 F juga masih mengekalkan bicu audio 3.5mm.
Jadinya, Oppo dilihat memberi bonus kepada pengguna-pengguna yang masih belum bersedia mahu bertukar angin kepada fon telinga sejenis TWS. Sebagai pengakuan juga, saya adalah salah sorang daripadanya yang masih lagi terbiasa dengan fon telinga berwayar.
Satu lagi kelebihan ketara lain pada Oppo Reno5 F ini adalah sokongan slot dedikasi untuk kad microSD – yang mana penawaran ini tidak kita temui pada model Reno5 dan Reno5 Pro sebelum ini. Ini bermakna anda boleh menggunakan sokongan dua SIM Nano bersama-sama dengan satu kad microSD secara serentak tanpa masalah.
Paparan
Pertama kali melihat dan memegang Oppo Reno5 ini, terdapat dua perkara yang terlintas di fikiran saya. Pertama, ia mempunyai saiz peranti yang cukup selesa untuk dipegang. Kedua, rekaannya juga nipis dan ringan . Sehinggakan, saya meletakkannya di dalam poket seluar – ianya langung tidak terasa membebankan.
Ini disebabkan, Oppo Reno5 F mempunyai saiz binaan peranti yang sederhana. Saya merasakan saiznya ini juga cukup ideal untuk kebanyakan pengguna hari ini. Paparan yang digunakan adalah sebesar 6.43-inci yang menawarkan resolusi sehingga FHD+.
Dengan penawaran sebegini, ia dapat menjadikan segala kandungan media seperti videi atau gambar dapat dilihat dengan baik. Namun begitu, mera untuk saya ingatkkan kepada semua. OppoReno5 ini tidak menyokong sebarang tetapn untuk kadar segar semula yang tinggi. Sebalikya, paparannya ini hanyalah 60Hz sahaja.
Satu lagi pendekatan model yangmasih dikekalkan adalah ia masih lagi menggunakan paparan hadapan berlubang. Ini adalah rekaan yang sama seperti kita boleh nampak pada Reno5 dan Reno5 Pro sebelum ini. Kemudian, lubang ini menempatkan sokongan kamera swafoto tunggal sebesar 32-Megapixel.
Antaramuka & pengalaman penggunaan :
Bercakap soal antaramuka pula, Oppo Reno5 F ini menggunakan antara muka ColorOS 11.1 yang dibina berasaskan Android 11 terkini. Seperti yang saya pernah nyatakan dalam beberapa ulasan terdahulu, ia menawarkan penambahbaikan dan ciri yang mesra pengguna. Seperti yang boleh dilihat, papan antaramukanya masih nampak kemas dan setiap ikon yang digunakan kelihatan cukup ceria.
Tidak ketinggalan, terdapat juga beberapa ciri menarik yang boleh dijumpai – misalnya seperti mod tema gelap & Always On Display yang boleh diubahsuai. Seterusnya, ciri Flexdrop yang membolehkan penggunaan peranti lebih cekap dengan melancarkan sebarang aplikasi dengan cepat menerusi tetingkap terapung. Kemudian, ciri Three-Finger Translate With Google Assistant Lens yang membolehkan pengguna menterjemah kandungan secara langsung daripada tangkapan layar.
Kita teruskan lagi dengan sokongan cip pada Oppo Reno5 F ini yang mana ianya dipadankan dengan cip MediaTek Helio P95. Untuk unit ulasan di dalam artikel ini, ia menyokong memori dengan 8GB RAM dan ruang storan dalaman pula sebesar 128GB. Seandainya ia masih tidak mencukupi, seperti apa yang dikatakan sebentar tadi Oppo Reno5 F ini menawarkan slot untuk microSD.
Tetapan Kamera :
Menyentuh soal kamera, sistem kuad-kamera utama digunakan di sini dengen tetapan 48-Megapixel untuk sensor utama, 8-Megapixel untuk Ultra-lebar, 2-Megapixel untuk makro dan 2-Megapixel lagi untuk tujuan mono. Buka sahaja aplikasi kamera padanya, antaramuka kelihatan mudah sahaja untuk digunakan dan setiap mod kamera yang disertakan juga sangat mudah untuk diakses. Seperkara lagi, tetapan rakaman video pada telefon ini boleh diambil dengan tetapan tertinggi sehingga 4K/30 fps.
Bercakap mengenai fokus, Oppo Reno5 F dilihat bukan sahaja masih memfokuskan kepada penghasilan gambar yang menarik menerusi sejumlh fungsi terbina seperti AI Color Portrait, Night Plus, Dinamic Bokeh dan sebagainya. Tetapi, peranti pintar ini turut memberi fokus kepada kepuayaan video dengan menyertakan mod penstabilan video khusus yang dinamakan sebagai Ultra Steady Mode. Ia betujuan bagi memastikan rakaman video kekal stabil dalam apa juga keadaan sekalipun.
Bukan itu sahaja, ia juga mempunyai kebolehan zum sehingga 10X, kebolehan membuat bokeh pada latar belakang ketika rakaman bersubjek, kebolehan merakam video menggunakan kamera hadapan dan belakang secara serentak dan menyediakan aplikasi suntingan terbina bagi memudahkan lagi proses suntingan asa dibuat sebelum berkongsi. Untuk lebih jelas, berikut saya sertakan keterangan lebih lanjut mengenai setiap fungsi pada kemera yang disebutkan sebentar tadi :
1) AI Highlight Video – Ia menggunakan algoritma yang disesuaikan secara automatik berdasarkan jenis keadaan sekeliling. Kemudian, tingkatkan kualiti rakaman video menjadi lebih baik untuk hasil memuaskan. Sekaligus, membolehkan rakaman video menjadi lebih jelas dan terang dalam semua situasi pencahayaan.
2) Monochrome Video – Ciri ini hadir dengan tiga penuras (filter) berbeza yang boleh diakses menerusi fungsi video. Ia akan memfokuskan kepada 3 warna utama seperti – merah, hijau dan biru. Kemudiannya, latar video akan menjadi hitam dan putih.
3) Portrait Beautification Video – Ciri yang membolehkan rakaman video bersubjek menghasilkan efek bokeh lebih baik. Turut kelihatan, ia juga dilengkapi mod kecantikan terbina yang membolehkan pipi dikuruskan, kedut diratakan, kulit diputihkan, solekan dikenakan dan mata dibesarkan.
4) Dual-View Video – Oppo Reno5 F juga dilengkapi ciri Dual-View Video mode di mana membolehkan rakaman video melalui kamera hadapan dan kamera belakang dibuat secara serentak. Melaluinya, terdapat tiga jenis template berbeza yang boleh dipilih iaitu Split, Round dan Rectangle.
5) Ultra Steady Video – Ia membolehkan rakaman video yang terhasil kelihatan lebih stabil dalam apa juga keadaan.
6) AI Scene Enchancement – Kamera pada Oppo Reno5 F boleh membiay pengecaman gambar melalui fungsi ini. Terdapat sehingga 20 kategori berbeza yang boleh dibuat pengecaman termasuklah – manusia, haiwan, tumbuhan, makanan dan banyak lagi.
7) AI Color Portrait – Membolehkan latar belakang sesuatu gambar menjadi hitam dan putih. Tetapi, subjek akan dikekalkan pada warna asal. Ia boleh dikatakan fungsi yang menarik untuk menghasilkan gambar yang nampak berbeza.
8) Night Plus – Terdapat sehingga 3 penuras menarik yang disediakan bagi menjadikan rakaman pada waktu malam kelihatan lebih cantik. Tidak perlu bersusah payah untuk membuat suntingan. Antara penuras yang disediakan – termasuklah Cosmopolitan, Astral dan Dazzle bagi membuatkan penghasilan.
Bateri
Akhir sekali, bateri yang disertakan adalah sebesar 4,310mAh dengan pengecasan 30W VOOC Flash Charge 4.0. Kamitidak sempat membuat ujian untuk ketahanan baterinya, tetapi berdasarkan pengalaman kapasiti bateri seperti ini mampu bertahan untuk jangka masa yang panjang bergantung juga pada cara penggunaan masing-masing. Oppo juga mendakwa sokongan pengecasan ini mampu untuk mengecas penuh peranti ini sekitar 56 minit sahaja. Seperkara lagi yang tidak perlu dirisaukan adalah Oppo turut menyediakan kepala pengecas terus di dalam kotak pembelian.
Kesimpulan
Jadi, kita boleh lihat sebenarnya masih ada beberapa perubahan yang dibuat pada Oppo Reno5 F ini. Selain daripada kemasan yang berlainan, ia juga mempelihatkan beberapa lagi penawaran berbeza laun yang menjadikannya tidak seperti adik-beradiknya yang lain. Kehadirannya juga boleh dikatakan Oppo ingin memberikan pilihan yang lebih mampu milik kepada mana-mana pihak yang berniat untuk merasai pengalaman fotografi menarik yang dibawakan oleh model-model di bawah siri Reno5 ini.
Pro
- Kemasan warna & binaan peranti yang baik.
- Kombinasi RAM & storan yang memadai.
- Pengecasan pantas 30W & pengecas disediakan.
Kontra
- Bonggol kamera agak tinggi.
- Kemasan teralu mudah memerangkap kotoran & calar.