Cari @ Amanz

Sony Xperia 10 adalah siri kelas pertengahan premium Sony dengan rekaan dan juga cuba memberikan pengalaman penggunaan seakan peranti mercu mereka siri Xperia 1. Xperia 10 II adalah model tahun lepas, dan tahun ini Sony melancarkan Xperia 10 III sebagai pengganti model tahun lepas. Dari segi rekaan, kesemuanya kelihatan lebih kurang sama sahaja. Cuma kali ini ia menyokong rangkaian 5G.

Skrin adalah 6.0-inci OLED dengan nisbah 21:9, 60Hz, FHD+ dan boleh memaparkan kandungan HDR. Skrin peranti ini menggunakan teknologi TRILUMINOS yang sama dengan televisyen Bravia. Cip pemprosesan adalah Snapdragon 690, secara tidak langsung menjadikan peranti ini peranti pertama siri Xperia 10 dengan sokongan 5G. Memori dan storan dirahsiakan, tetapi jika ikut maklumat tertiris ia adalah 6/128 GB.

Peranti ini menggunakan sistem tri-kamera daripada lensa dengan jarak fokal 8MP f/2.2 16mm untuk sudut ultra lebar, 12MP f/1.8  Exmor R 27mm utama dan 8MP f/2.4 54mm untuk telefoto. Salah satu sensor ini mempunyai bukaan cahaya f/1.8 yang mana menurut Sony sistem kamera peranti ini boleh mengambil gambar HDR, gambar malam, atau haiwan pada kualiti lebih tinggi. Untuk rakaman video, sokongan 4K SteadyShot disertakan. Kamera swafoto pula adalah 8MP.

Untuk bateri, 10 III mempunyai kapasiti 25% lebih besar dari 10 II iaitu 4500mAh dengan sistem pengecasan Xperia Adaptive Charging. Peranti ini turut mengekalkan port bicu audio 3.5mm dengan sokongan DSEE Ultimate untuk pengalaman pendengaran premium yang lebih kurang sama dengan set fon kepala mereka. Peranti ini dilindungi dengan IP65 dan IP68 dan kaca Gorilla Glass 6. Sistem operasi pula adalah Android 11.

Sony menawarkan tiga pilihan warna hitam, biru dan putih. Harga dan tarikh jualan masih tidak diketahui lagi. Tetapi pengumuman lanjut akan diumumkan pada musim panas nanti. Sony Malaysia juga menyatakan yang peranti ini akan dipasarkan ke pasaran tempatan juga. Sama-sama kita nantikan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd