Cari @ Amanz

Selain daripada telefon pintar, Xiaomi juga merupakan antara pengeluar yang sedia terkenal dengan penawaran televisyen pintar. Sehingga kini, terdapat pelbagai model televisyen pintar yang telah dihasilkan oleh Xiaomi.

Dalam perkembangan terkini, mereka berkongsi perancangan untuk memperkenalkan Xiaomi Mi QLED TV 75″ bagi pasaran India. Ini sekaligus menjadikannya televisyen QLED terkini untuk pasaran India selepas pengenalan Xiaomi Mi QLED TV 4K 55″ sekitar Disember tahun lalu.

Perkhabaran ini dikongsi oleh pihak Xiaomi India sendiri menerusi hantaran di laman Twitter dan ia turut mendedahkan tarikh pelancarannya yang dijadualkan berlangsung pada 23 April hadapan. Ia kelihatan seperti sebuah acara pelancaran produk yang agak besar untuk Xiaomi India kerana mereka turut bakal memperkenalkan siri Mi 11X dan Mi 11 Ultra pada tarikh yang sama.

Menurut spekulasi awal, ramai yang menyasarkan Xiaomi Mi QLED TV 75″ berkemungkinan besar adalah Mi TV Q1 75” yang dilancarkan di Eropah tempoh hari. Jika ianya benar, televisyen ini bakal dilengkapi skrin 75-inci 4K dengan kadar segar semula 120Hz.

Mi TV Q1 75

Seterusnya, ia juga akan dipadankan dengan cip pemproses MediaTek MT 9611, memori 2GB RAM, storan 32GB, sistem operasi Android TV 10, sokongan untuk Dolby Vision dan banyak lagi. Seperti biasa, penawaran lebih lanjut bakal terjawab ketika pelancaran rasmi kelak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd