Rekaan Dan Spesifikasi ROG Zephyrus M16 Tertiris – Dijana Komponen Terbaru Intel, NVIDIA Dan Hadir Dengan Paparan 16:10

Diterbitkan pada Apr 15, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

ASUS dijangka bakal memperkenalkan sejumlah komputer riba gaming baru tidak lama lagi, dan salah satu daripadanya ialah komputer riba gaming ROG Zephyrus M16 yang hadir dengan komponen-komponen terbaru daripada Intel dan NVIDIA, dan juga sejumlah pembaharuan yang tidak dilihat pada komputer-komputer riba ROG Zephyrus sebelum ini.

Seperti yang tertera pada namanya, ROG Zephyrus M16 dilengkapi dengan paparan skrin 16 inci. Saiz panel ini bukanlah sesuatu yang baru, tetapi menariknya ia hadir dengan nisbah paparan 16:10, yang secara lazimnya dilihat pada komputer-komputer riba produktiviti.

Menurut tirisan yang dilaporkan pelbagai pihak, ROG Zephyrus M16 ini akan hadir dengan dua pilihan resolusi, iaitu 2560×1600 dengan kadar segar semula 144Hz, ataupun 1920×1200 dengan kadar segar semula 165Hz. Seperti lazim untuk komputer-komputer riba gaming dalam kelas premium, paparan ini juga akan ditentukur di kilang, dan hadir dengan gamut warna DCI-P3 100 peratus.

Dari segi rekaan, ia kelihatkan seperti kebanyakan model ROG Zephyrus yang lain, cuma engsel ErgoLift Hinge nampaknya lebih menyerlah, dan kali ini, paparan skrinnya boleh dibaringkan 180 darjah ke belakang. Menariknya, walaupun dengan paparan yang mempunyai kadar efektif 94 peratus, ASUS masih lagi berjaya memuatkan sebuah kamera webcam di bahagian atas paparan komputer riba ini.

Selain daripada itu, sebahagian daripada konfigurasi komponen ROG Zephyrus G16 ini juga diperlihatkan. Ia akan hadir dengan pilihan CPU Intel Tiger Lake-H terbaru, termasuklah Intel Core i7-11800H ataupun Intel Core i9-11900H. Dari segi GPU pula, nampaknya tiga pilihan kad grafik akan ditawarkan, termasuklah NVIDIA GeForce RTX 3050 Ti, NVIDIA GeForce RTX 3060, dan NVIDIA GeForce RTX 3070.

Setakat ini, ia masih tidak diketahui lagi bilakah ASUS akan memperlihatkan komputer riba ROG Zephyrus M16 ini, dan jika ia akan hadir untuk pasaran tempatan.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami