Microsoft Flight Simulator versi terkini ialah permainan simulasi penerbangan keluaran Asobo Studio yang membolehkan pemain merasai sendiri pengalaman menerbangkan kapal terbang dalam pelbagai jenis saiz tanpa perlu memiliki lesen penerbangan. Keunikan permainan ini hadir dimana penggemar simulasi boleh membeli pelbagai jenis kelengkapan penerbangan olok untuk membangunkan setup penerbangan sendiri bagaimana mereka mahu.
Simulasi tersebut baru-baru ini hadir dengan kandungan tambahan baru untuk negara Perancis, dan selari dengan itu, Microsoft nampaknya telah membina sebuah komputer yang bertemakan enjin kapal terbang untuk meraikan ketibaan kandungan tersebut.
Komputer desktop ini hadir dengan rangka komputer bersaiz sederhana yang dimuatkan dengan rekaan sebahagian enjin kapal terbang yang membuatkannya kelihatan sebagai sebahagian daripada sebuah kapal terbang.
Dari segi spesifikasi, komputer desktop ini dikuasakan oleh CPU Intel Core i7-11700K dan menggunakan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3070 yang boleh dikatakan cukup berkuasa untuk menggerakkan Microsoft Flight Simulator pada resolusi dan tetapan tinggi.
Pengumuman mengenai komputer ini hadir melalui sebuah ciapan oleh akaun Twitter Xbox France, dimana komputer desktop ini akan diberikan kepada pemenang bertuah yang mengikuti akaun tersebut dan menciap-semula ciapan tersebut.
Kami menjangkakan bahawa pemberian ini hanyalah untuk penduduk di Perancis, khususnya kerana ciapan yang hadir ini ditulis dalam bahasa tersebut.