Cari @ Amanz

Samsung bakal hadir dengan sebuah acara Galaxy baru pada 28 April ini yang akan memperlihatkan sejumlah komputer riba baru dibawah siri Samsung Galaxy Book, yang diantaranya termasuklah Samsung Galaxy Book Pro dan Samsung Galaxy Book Pro 360.

Sebelum ini kami pernah melaporkan mengenai ketirisan rekaan kedua-dua model komputer riba ini yang sedikit-sebanyak memperlihatkan rekaan komputer-komputer riba tersebut. Kini, sekitar dua minggu sebelum acara pelancaran siri komputer riba tersebut, The Voice sekali lagi telah meniriskan lebih banyak lagi rekaan siri komputer riba tersebut.

Seperti yang diperlihatkan, Samsung Galaxy Pro 360 hadir dengan rekaan yang serba nipis, tetapi masih lagi hadir dengan sejumlah pilihan I/O yang agak banyak, termasuklah dua palam Thunderbolt 4 Type-C, satu palam USB 3.2 Type-A dan satu palam HDMI.

Menariknya, ia dilihat bahawa Samsung Galaxy Book Pro hanya kekurangan satu palam USB Type-A, tetapi palam-palam lain masih dikekalkan.

Dari segi komponen yang digunakan, butiran khusus mengenai cip pemprosesan yang akan digunakan belum diketahui lagi, tetapi pada masa ini ia hanya diumumkan bahawa Samsung Galaxy Book Pro ini akan dikuasakan CPU Intel generasi ke-11 Tiger Lake.

Dalam pada itu, Samsung juga dijangka akan memperkenalkan Samsung Galaxy Book Go, iaitu sebuah komputer riba yang akan dikuasakan sebuah cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon. Samsung dijangka akan memperkenalkan semua peranti-peranti ini secara rasmi di acara Galaxy terbaru mereka tidak lama lagi.

Buat masa ini, ia masih tidak diketahui jika Samsung Malaysia akan membawa masuk komputer-komputer riba ini untuk pasaran tempatan, khususnya diwaktu apabila orang ramai masih lagi mencari mesin produktiviti nipis dan ringan untuk kegunaan di dalam dan luar pejabat.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd