DJI Air 2S Dilancarkan Dengan Sensor 1-Inci 20MP Pada Harga Bermula RM4499

DJI Air 2S Dilancarkan Dengan Sensor 1-Inci 20MP Pada Harga Bermula RM4499

Diterbitkan pada Apr 15, 2021 oleh .

DJI Air 2S dilancarkan sebentar tadi dan menjadi sebuah lagi dron kompak boleh dilipat di pasaran. Dron menggunakan konfigurasi kuad-kipas dan kamera 20MP dengan sensor sebesar 1″. Dengan sensor bersaiz fizikal lebih besar, imej yang lebih tajam dapat dirakam.

Bercakap mengenai rakaman video, kamera diletakkan pada sebuah gimbal tiga paksi yang memastikan ia sentiasa stabil walaupun ketika dron diterbangkan dengan agresif. Video sehingga resolusi 5.4K 30fps atau 4K 60fps boleh dirakam sementara imej statik 20MP dalam format RAW. Storan dalaman adalah sebesar 8GB tetapi kad SD boleh ditambah untuk storan tambahan.

Ciri menarik kamera yang diperkenalkan ialah Hyperlight untuk penggambaran yang jelas pada waktu malam dan MasterShots pula melakukan rakaman automatik berdasarkan laluan yang dipilih sebelum menyambungkan video secara automatik untuk dikongsi.

Bagi memastikan penerbangan dron yang selamat walaupun oleh pengguna amatur, sistem APAS 4.0 (Advanced Pilot Assistance System) disertakan. Sensor yang disertakan sentiasa memastikan objek dapat dielak secara automatik apabila muncul pada laluan yang diprogramkan. Turut disertakan ialah sistem Automatic Dependent Surveillance-Broadcast (ADS-B) yang memancarkan isyarat lokasi kepada pesawat berhampiran bagi mengelakkan berlakunya pelanggan di udara.

Dengan sekali caj dron seberat 595 gram dan bateri sebesar 3500 mAh ini boleh beroperasi sehingga 31 minit atau 18.5 kilometer. Kelajuan maksimum ialah 68 km/j secara mendatar dan menegak pula 22 km/j.

DJI Air 2S boleh dibeli bermula hari ini pada harga RM 4,499 untuk kombo standard termasuk drone, alat kawalan jauh, satu bateri. Kombo Fly More pula berharga RM 5,799 menambah lagi 2 bateri, penapis ND, hab
pengecasan dan sebuah beg sandang.


Paling Popular