Robot DEEBOT N8 PRO Ditawarkan Di Malaysia Pada Harga RM1649

Robot DEEBOT N8 PRO Ditawarkan Di Malaysia Pada Harga RM1649

Diterbitkan pada Apr 15, 2021 oleh .

Membersihkan lantai ialah salah satu kerja rumah yang kami lakukan di hujung minggu. Kerana dilakukan di akhir minggu, debu dan bulu kucing yang perlu disedut adalah amat banyak. Maka ramai rakan-rakan menyarankan kami membeli robot pembersih hampagas yang melakukan pembersihan setiap hari secara automatik.

Ecovacs Robotics akan menawarkan DEEBOT N8 PRO di Malaysia minggu ini dengan ciri-ciri menarik seperti sistem imbasan laser TrueDetect yang memetakan lantai rumah dengan lebih pantas dan tepat. Objek boleh dikesan dari jarak 10 meter dan walaupun sekecil 2mm. Isu melanggar perabot, haiwan peliharaan dan berselirat dengan kabel dapat dielakkan. Sistem ini menurut ECOVACS adalah lebih tepat berbanding sistem kamera infra merah yang digunakan pada robot-robot terdahulu.

Motor penyedut menghasilkan tekanan sehingga 2600 Pa dan terdapat juga sistem OZMO terbina untuk melakukan kerja mengemop lantai. Apabila tempat simpanan dalam penuh, DEEBOT N8 PRO akan kembali ke stesen pengecas dan membuang sampah yang disedut ke dalam bekas dengan kapasiti 2.5L yang cukup besar untuk dibersihkan setiap 30 hari.

DEEBOT N8 PRO akan ditawarkan di Shopee dari 17-18 April pada harga istimewa RM1599 sebelum kemudiannya ditawarkan pada harga yang sama di Lazada pada 23-24 April. Selepas itu ia akan ditawarkan pada harga jualan biasa RM1649 sebuah.


Paling Popular