Carian
Motorola Moto G60 Dan Moto G40 Fusion Diperlihatkan Menerusi Poster Rasmi
April 16, 2021 Amy Maizuraa

Kalau perasan, kami pernah melaporkan mengenai dua peranti terkini Motorola yang ditemui di laman Geekbench, sebelum ini. Ketika itu, ura-ura mengatakan ianya mungkin akan dilancarkan sebagai Motorola Moto G60 dan Moto G40 Fusion – berikutan tiada sebarang perkongsian rasmi daripada pihak Motorola sendiri.

Namun begitu, ura-ura ini ternyata benar belaka. Kedua-dua peranti pintar ini akhirnya diperlihatkan menerusi hantaran berbentuk poster rasmi di Twitter Motorola India. Ia bukan sahaja mendedahkan nama model, sebaliknya reka bentuk untuk kedua-dua peranti turut dikongsi.

Jika diteliti, kedua-duanya berkongsi rekaan yang sama. Di mana, terdapatnya sokongan sistem tri-kamera utama yang disusun secara menegak di dalam modul kamera berbentuk segi empat. Turut kelihatan, kedua-duanya dilengkapi sokongan pengimbas cap jari fizikal berbentuk bulat turut disertakan pada panel belakang peranti.

Bukan itu sahaja, kedua-duanya juga menempatkan butang kuasa, butang laras suara dan butang Google Assistant khas pada sisi kanan. Kemudian, sisi kiri pula menempatkan ruang untuk slot SIM.

Rekaan panel hadapan pula memperlihatkan Moto G60 akan dilengkapi skrin berlubang yang menyokong lensa swafoto tunggal. Sementara itu, rekaan panel hadapan untuk Moto G40 pula masih tidak jelas. Terdapat kemungkinan besar ia akan menggunakan skrin bertakuk kecil.

Buat masa ini, Motorola dilihat sekadar mengacah sahaja tanpa berkongsi lanjut mengenai tarikh pelancaran khusus. Meskipun begitu, kita boleh menyasarkan ianya akan didedahkan dalam masa terdekat ini.

Komen