Media sudah banyak berubah dan kini pemasaran produk menggunakan pempengaruh di Instagram atau lebih dikenali sebagai Instafamous adalah cukup popular. Dengan pengikut yang mencapai jumlah lebih sejuta, ramai mungkin melihat ia adalah platform yang menguntungkan untuk pengiklanan produk. Tetapi menurut laporan laman audit HypeAuditor, 66% pempengaruh mega dengan lebih 1 juta pengikut terlibat dalam pembohongan.
Pembohongan adalah dalam bentuk membeli pengikut, Likes, komen dan penonton Stories. Mereka juga didapati bersekongkol antara satu sama lain untuk meninggalkan komen di akaun rakan-rakan untuk meningkatkan interaksi. Pempengaruh nano yang mempunyai kurang 5000 pengikut juga terlibat dalam penipuan tetapi hanya melibatkan 42% di kalang mereka.
Walaupun mempunyai masalah penipuan, pengiklanan menggunakan Instagram nyata berkesan dengan setiap $1 dibelanjakan membawa juala bernilai $4.87. Sebanyak 62% pengiklan juga mengatakan terdapat peningkatan jualan selepas pemasaran dilakukan menerusi Instafamous. Pasaran pempengaruh Instagram dijangka meningkat 15% tahun ini dengan nilai $5.87 bilion. Oleh itu pempengaruh mengambil pelbagai taktik untuk membuatkan akaun mereka lebih menarik untuk pengiklanan berbanding pesaing.
Pada waktu yang sama HypeAuditor menganggarkan 45% akaun pengguna Instagram, adalah palsu. Laporan diterbitkan HypeAuditor selepas menganalisa 12 juta akaun Instagram, 5.2 juta akaun TikTok dan 4.5 juta akaun YouTube.