Masalah Bekalan Cip Pemprosesan Dan Semikonduktor Kini Dijangka Berterusan Sehingga 2023

Diterbitkan pada Apr 16, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Sebelum ini kami ada melaporkan bahawa badan penganalisa industri MarketWatch mengatakan bahawa bekalan cip pemprosesan yang menguasakan pelbagai peralatan elektronik di seluruh dunia akan mengalami kekurangan sehingga 2022.

Sejak itu, syarikat-syarikat pembuat silikon dan semikonduktor seperti Intel, TSMC, Samsung dan sebagainya telah mengumumkan bahawa mereka akan membangunkan sejumlah kilang pembuatan semikonduktor baru untuk memenuhi permintaan cip pemprosesan yang semakin meningkat daripada pelbagai industri dan juga pengguna sendiri.

Terkini, CEO-CEO syarikat-syarikat pembuat cip terkemuka semuanya mengatakan terdapat kebarangkalian besar bahawa masalah bekalan ini akan berkekalan sehingga 2023 pula. Ini kerana walaupun pelan untuk membuka kilang-kilang pembuatan cip pemprosesan baru telah bermula, kilang-kilang ini dilihat hanya akan mula beroperasi sekitar penghujung tahun 2022.

Lebih teruk lagi, permintaan untuk cip-cip pemprosesan daripada pelbagai industri, termasuklah perkomputeran, automotif, perubatan dan sebagainya hanya akan meningkat sepanjang dua tahun ini, dengan kilang-kilang seperti TSMC dan Samsung dilihat sudahpun beroperasi pada tahap 100 peratus, dan walaupun dengan peningkatan harga pengilangan, TSMC dijangka masih akan sibuk sepanjang tahun ini dan tahun hadapan.

CEO Intel, Pat Gelsinger dan CEO TSMC, C.C. Wei bersependapat mengatakan bahawa mereka hanya menjangkakan bahawa bekalan semikonduktor dan cip pemprosesan akan beransur pulih selepas kilang-kilang yang dibangunkan ini beroperasi sepenuhnya.

Ini bermakna walaupun ianya semua mula beroperasi pada pertengahan ataupun penghujung tahun 2022, kita hanya akan memperlihatkan penstabilan harga komponen sekitar 2023. Secara teknikalnya juga, kesukaran untuk membekalkan bahan mentah kepada syarikat-syarikat ini akibat wabak COVID-19, bencana alam dan sebagainya juga sedikit sebanyak menyukarkan lagi syarikat-syarikat ini untuk memastikan bekalan cip pemprosesan mencukupi untuk mereka yang memerlukannya.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami