Enggan terus berteka-teki, Vivo kini berkongsi lanjut maklumat mengenai pelancaran untuk peranti baharu mereka. Dikenali sebagai siri Vivo V21, terdapat sehingga dua model berbeza yang akan diperkenalkan kelak. Ini termasuklah Vivo V21 dan Vivo V21e.

Memetik perkongsian Vivo, acara pelancaran untuk peranti ini telah dijadualkan belangsung dalam tempoh kira-kira dua minggu lagi – iaitu pada 27 April 2021. Dalam pada itu, Vivo Malaysia turut memperkenalkan pelakon dan pengacara, Mira Filzah sebagai duta baharu mereka. Kerjasama antara Vivo bersama selebriti ini dijangka dapat memperluaskan lagi pengenalan produk ini kepada pembeli tempatan.
Seperti generasi sebelum ini, siri Vivo V21 dikatakan turut memfokuskan kepada keupayaan kamera lebih baik. Melaluinya, ia kelak akan menyertakan sokongan kamera utama 64-Megapixel dengan sokongan OIS dan kamera hadapan 44-Megapixel. Seterusnya, ia juga akan dilengkapi rangkaian 5G terbina, memori 8GB RAM + 3GB RAM tambahan dan binaan yang nipis. Seperti biasa penawaran lebih lanjut bakal terjawab pada pelancaran rasmi kelak.