Carian
Xiaomi Mi 11 Terima Skor DxOMark Sebanyak 120 Mata Untuk Kamera Utama
April 16, 2021 Amy Maizuraa

Xiaomi Mi 11 merupakan antara peranti terawal yang akan dipasarkan dengan cip Snapdragon 888. Di samping itu, ia juga dilengkapi sejumlah penawaran lain yang menarik – salah satu daripadanya sistem tri-kamera dengan sensor utama 108-Megapixel.

Dalam perkembangan terkini, DxOMark dilihat berkongsi kutipan markah keseluruhan untuk kamera utama padanya. Melaluinya, Xiaomi Mi 11 menerima sebanyak 120 mata dan ia memposisikannya setanding dengan Google Pixel 5, Samsung Galaxy Note 20 dan Redmi K30 Pro.

Ringkasan ujian berkenaan menunjukkan Xiaomi Mi 11 mencatatkan 127 mata untuk keupayaan kamera, 59 mata untuk keupayaan zum dan 107 mata pula untuk rakaman video.Menurut DxOMark, Xiaomi Mi 11 mampu memberikan prestasi pengimejan yang baik dalam kebanyakan aspek. Ia juga sesuai dijadikan pilihan buat mereka yang gemar mengambil gambar tetapi tidak mengutamakan keupayaan zum.

Melaluinya, pujian diberikan kepada penghasilan warna yang baik dengan keseimbangan putih yang tepat. Bukan itu sahaja, ia juga mempunyai julat dinamik yang luas, kemampuan mengawal hingar yang minima dan penstabilan video yang efektif.

Kritikan pula diberikan kepada sistem aufokus yang perlahan pada situasi pencahayaan rendah, perincian yang kurang memuaskan untuk gambar zum dan penghasilan warna kurang tajam untuk hasil gambar sudut-lebar. Sekadar makluman, Xiaomi Mi 11 dijual di Malaysia pada harga bermula RM2799 untuk seunit.

Komen