Cari @ Amanz

Semasa telefon pintar wujud atau telefon pintar yang menjalankan sistem operasi seperti Android – Symbian adalah antara sistem operasi yang popular. Seperti Android sekarang, Symbian juga dulu menawarkan banyak aplikasi menarik dan juga permua. Nokia 7650, Nokia N95, Nokia E50, Nokia 5800 XpressMusic dan N-Gage adalah antara peranti yang dikenali ramai.

Nokia N-Gage adalah jawapan Nokia untuk peranti gaming pada tahun 2003. Ia adalah konsep telefon dan juga konsol dalam satu peranti, tetapi konsep atau inovasi ini terlampau maju ke hadapan dan tidak sesuai untuk zaman awal 2000. Nokia juga hanya menjual sekitar 3 juta unit sahaja dan pada tahun 2006 peranti ini sudah dihentikan sokongan dan keluaran. Terkini, bagi yang ingin mengimbau kenangan silam – EKA2L1 boleh dimuat turun di Play Store. Ia adalah pelagak untuk mencuba permua-permua N-Gage untuk peranti Android.

Pelagak ini sudah lama dibangunkan, tetapi hanya baru-baru ini ia tersenarai di Play Store. Pelagak ini boleh menjalankan Symbian versi S60v1, S60v3, atau S60v5 dengan pengoptimasian untuk N-Gage.

Aplikasi ini menyokong kedua-dua peranti Android 64-bit dan 32-bit (beta), serta jika menggunakan perisian dan tetapan yang betul – permua boleh dijalankan pada kadar segar semula lebih tinggi dari N-Gage. Seperti biasa, ROM dan fail-fail lain perlu dicari sendiri dan tidak disediakan untuk mengelak sebarang isu hak cipta atau lesen. Bagi yang ingin cuba, muat turun aplikasi EKA2L1 di Play Store.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd