Kereta elektrik di pasaran masih lagi dijual pada harga yang kurang mampu milik tanpa subsidi dari kerajaan. Oleh itu kemasan dalaman dalam kenderaan tidak diberikan sentuhan kemewahan bagi mengurangkan kos. Tetapi seperti yang kami laporkan sebelum ini, jenama kenderaan mewah seperti Bentley telahpun bertekad untuk menghasilkan kereta elektrik sahaja dalam masa sedekad.

Mercedes sebagai antara pengeluar kereta terawal dunia, juga telah mula berpindah ke kenderaan elektrik sejak tiga tahun kebelakangan ini. Minggu ini mereka akhirnya melancarkan Mercedes EQS iaitu siri S-Class mereka dalam versi elektrik sepenuhnya.
Serasi dengan statusnya sebagai Sonderklasse, kereta dilengkapi skrin gergasi MBUX Hyperscreen sebesar 55″ yang mendominasi panel hadapan. Skrin ini digunakan untuk memaparkan maklumat pemandu, sistem navigasi dan sistem hiburan kenderaan dalam satu panel yang kelihatan terapung. Sistem pintar akan mengurangkan keterangan skrin sekiranya mengesan pemandu menonton video ketika memandu bagi tujuan keselamatan.

Kenderaan mempunyai sistem swapandu Drive Pilot yang membenarkan ia bergerak tanpa tangan diletakkan pada stereng ketika di lebuhraya sehingga kelajuan 60 km/j. Ia turut boleh memastikan jarak yang selamat dengan kereta di hadapan, mengekalkan kenderaan pada lorong, memintas dan mengelak dengan selamat sekiranya kemalangan berlaku.

Bagi memastikan keselesaan penumpang sepanjang masa, EQS dilengkapi sistem apungan udara AIRMATIC berubah secara dinamik mengikut kelajuan kenderaan. Semakin laju ia bergerak, semakin rendah gantungannya. Ini adalah bagi mengurangkan rintangan udara sekaligus meningkatkan jarak perjalanan kenderaan dengan sekali caj.
Selain kemewahan, S-Class juga terkenal dengan prestasinya yang tinggi. Dua model EQS akan ditawarkan iaitu EQS 450+ dengan output motor 329-kuasa kuda (245-kW) dan EQS 580 4MATIC dengan output motor 516 kuasa kuda (385 kW). EQS 580 4MATIC lebih berprestasi tinggi kerana dilengkapi motor depan dan hadapan dengan panduan empat roda. Sungguhpun begitu kelajuan maksimum kedua-duanya dihadkan sehingga 209 km/j sahaja atas faktor keselamatan. Jarak operasi maksimum pula adalah sehingga 770 km dalam ujian WLTP.

Lagi ciri mewah yang diberikan ialah pintu terbuka automatik apabila mengesan kehadiran pemandu, pintu tertutup sendiri apabila brek ditekan, sistem udara dengan penapis HEPA, memparkir kereta secara automatik menggunakan telefon pintar, sistem audio dari Burmester dan lampu digital.
Harga dan tarikh jualan masih lagi belum diumumkan. Tetapi dengan statusnya sebagai kereta elektrik mewah pertama dunia, ia pastinya tidak mampu dimiliki oleh orang kebanyakan.