Cari @ Amanz

Kita sendiri boleh lihat bahawa WhatsApp bukan sahaja terhad untuk aplikasi pemesejan. Tetapi, ia juga berfungsi sebagai medium untuk tujuan penjualan dan pembelian. Bagi memudahkan ramai pihak terutamanya para pelanggan berhubung soal perniagaan, WhatsApp Business telah sedia diperkenalkan sekitar tahun 2018 yang lalu. Perbezaan ketara antara WhatsApp Business dan versi standard adalah loga aplikasi itu sendiri – di mana ia menggunakan logo berhuruf “B” bagi menggantikan logo sedia ada.

WhatsApp Business

Ia ditawarkan secara percuma kepada semua pemilik perniagaan dan boleh digunakan pada peranti Android atau iPhone. Ia sebenarnya bukan sahaja memudahkan pelanggan. Malah, dapat membantu para peniaga untuk berinteraksi dengan lebih baik bersama pelanggan. Rasai pengalaman seakan-akan menggunakan WhatsApp Messenger – di mana, fungsi automasi pada sistem pemesejan membolehkan jawapan pantas diberikan kepada soalan lazim dan penghantaran mesej kepada pelanggan ketika peniaga sibuk.

Melaluinya juga, para peniaga akan mempunyai profil khas yang mengesahkan mereka adalah sebuah perniagaan. Kemudiannya, mereka juga boleh mengemaskini alamat perniagaan, emel, nombor telefon dan pelbagai lagi maklumat yang berkaitan. Namun begitu, sebelum meninjau jauh mengenai aplikasi, anda perlu fahami dahulu beberapa ciri asas-asasnya menerusi artikel ini.


Cara Muat-turun Aplikasi WhatsApp Business

Sebelum kita pergi lebih jauh, ada baiknya kalau kami bercakap mengenai perkara yang paling asas dahulu. Seperti mana yang telah kami jelaskan di atas, aplikasi WhatsApp Business tersedia secara percuma. Ia boleh dimuat turun di telefon pintar anda menerusi Google Play Store dan App Store. Cara mendaftar juga sangat mudah. Ikuti langkah-langkah yang telah dikongsikan di bawah : 

  • Muat turun aplikasi WhatsApp Business daripada App Store & Google PlayStore.
  • Sahkan nombor telefon perniagaan anda.
  • Pindahkan semula apa-apa butiran daripada sandaran (jika perlu).
  • Tetapkan nama perniagaan anda.
  • Daftar profil >> Klik Tetapan >> Nama Perniagaan Anda.

Namun begitu, sebelum anda meneruskan proses muat-turun. Sila ambil perhatian terhadap perkara-perkara berikut. Pertama, sekiranya anda sedia mempunyai akaun WhatsApp Messenger, butiran berkaitan maklumat akaun boleh dipindahkan ke WhatsApp Business dengan mudah. Kedua, sejarah sembang bagaimanapun tidak boleh dialih semula ke WhatsApp Messenger. Akhir sekali, anda masih boleh menggunakan aplikasi WhatsApp Business dan WhatsApp Messenger secara serentak selagi kedua-duanya diselarikan ke nombor telefon yang berbeza.


Ciri-ciri Asas Pada Aplikasi WhatsApp Business

Profil Perniagaan

Kebaikan aplikasi WhatsApp Business sememangnya memudahkan segala urusan. Ia membolehkan peniaga menambah pelbagai maklumat mengenai butiran perniagaan – termasuklah nama, alamat, kategori, emel dan sebagainya. Melaluinya juga, pelanggan dapat melihat dan ketahui segala maklumat berkaitan perniagaan dengan lebih mudah. Walaupun begitu, sekiranya berlaku perubahan pada mana-mana butiran yang ada. Anda juga masih boleh mengeditnya dengan beberapa langkah mudah seperti di bawah :

  • Buka aplikasi WhatsApp Business >> Klik pada butang “MORE” >> Business tools >> Business Profile.
  • Kemudian, klik butang edit.
  • Klik pada mana-mana bahaian untuk teruskan kemaskini >> kemudian klik butang “SAVE”

Quick Reply / Balasan Pantas

Quick Reply atau balasan pantas merupakan ciri yang dapat bantu menjimatkan menjimatkan masa peniaga. Melaluinya, ia membolehkan peniaga membuat balasan untuk mesej yang diterima dengan serta-merta.

Ia juga membolehkan peniaga mencipta, menyimpan dan menggunakan semula mesej yang sering dihantar bagi menjawab soalan lazim dalam waktu yang singkat. Jadinya, urusan jual beli kini akan lebih teratur dan peniaga juga tidak perlu lagi membuang masa untuk menaip mesej yang sama secara berulang kali.


Mesej Automatik

Selain daripada balasan pantas, aplikasi WhatsApp Business juga mempunyai kebolehan untuk ciri mesej automatik. Ianya sangat berguna untuk peniaga yang mahu lebih dekat dengan para pembeli dalam apa juga situasi – termasuklah ketika sedang bercuti.

Melaluinya, peniaga boleh menghantar mesej kepada pembeli secara automatik – meskipun di waktu luar masa perniagaan yang sepatutnya. Ia bukan sahaja memaklumkan pengguna mengenai status persoalan mereka. Bahkan, mereka juga boleh maklum mengenai kebolehcapaian semasa tempoh di luar waktu perniagaan.


Label Chat

Peniaga boleh mencipta label dengan warna yang berbeza. Kemudian, ia boleh ditambah pada kenalan yang dikehedaki mengikut keperluan masing-masing. Tidak kiralah, sama ada kenalan tunggal ataupun secara berkumpulan. Difahamkan, peniaga boleh mencipta sehingga 20 label berbeza menerusinya.


Greeting / Mesej Sapaan

Melaluinya, peniaga kelak dapat berkomunikasi dengan lebih baik bersama pembeli. Mesej sapaan yang ditetapkan akan dihantar secara automatik kepada si penerima. Difahamkan, mesej ini boleh ditetapkan untuk pelbagai jenis situasi mengikut keperluan peniaga sendiri.


Ciri Katalog

Ciri ini membolehkan para penjual berkongsi barangan yang dijual dengan lebih teratur. Katalog ini akan dipaparkan pada profil perniagaan. Setiap satu daripadanya akan mempunyai tajuk dan beberapa maklumat lain – termasuklah harga, info, pautan laman web dan kod untuk produk.

Difahamkan, peniaga boleh memuat naik sehingga 500 produk pada katalog ini. Ia sebenarnya bukan sahaja memudahkan peniaga, bahkan pembeli juga boleh memilih produk yang diingini dengan mudah dan menghantar mesej secara terus untuk bertanyakan soalan yang berkaitan.


Add to Cart / Bakul pembelian

Dengan ciri ini, proses jual beli kini akan lebih teratur dan peniaga juga boleh berhubung dengan lebih baik bersama pembeli. Hal ini kerana, ia mampu membantu pembeli untuk berbelanja dengan lebih efektif. Untuk mengakses, ia boleh digunakan secara terus daripada katalog. Kemudian, pembeli boleh memilih produk yang diinginkan. Seterusnya, pesanan boleh dibuat dalam satu mesej sahaja kepada peniaga.


Kesimpulannya di sini, WhatsApp Business membolehkan pelbagai perniagaan dapat berinteraksi bersama pelanggan dengan lebih mudah dan professional. Bukan itu sahaja, ia juga mampu menjadikan pengalaman komunikasi terasa lebih baik menerusi beberapa ciri – seperti mesej automatik, mesej sapaan dan sebagainya. Kemudian, setiap satu daripada perniagaan berdaftar juga dilengkapi profil yang sah.

Ini sebenarnya akan lebih memudahkan pengguna untuk membezakannya dengan akaun pengguna biasa. Justeru, penggunaan aplikasi WhatsApp Business ini boleh dikatakan mampu membuka peluang lebih luas kepada usahawan untuk memasarkan produk masing-masing. Baiklah, jangan lupa nantikan perkongsian kami yang seterusnya yang sama sekali lagi akan menyentuh topik berkaitan isu privasi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd