Sebelum ini, pelombongan kriptowang dilihat menggunakan CPU ataupun kad grafik sebagai cara untuk mendapatkan pelbagai matawang digital seperti Bitcoin, Ethereum, Litecoin dan sebagainya. Terkini, terdapat sebuah kriptowang baru yang menggunakan sebuah cara lain daripada lain untuk melombongnya.
Ia dinamakan Chia, dan dibangunkan oleh pengasas teknologi Bittorrent, Bram Cohen. Berbeza dengan kriptowang-kriptowang lain, Chia menggunakan ruangan storan cakera keras ataupun SSD dan masa sebagai cara untuk melombong kriptowang ini.
Walaupun secara teknikalnya, Chia adalah kriptowang yang sangat baru dan masih belum melepasi piawaian perdagangan, ia dilaporkan bahawa ramai pelombong kriptowang dari China sudahpun mula membeli cakera keras dan storan SSD dengan kapasiti besar untuk menunggu kehadiran rasmi kriptowang Chia ini.
Pelbagai laporan mengatakan bahawa di China dan Hong Kong, bekalan storan kelas enterprise dalam kapasiti 14-18TB semakin berkurangan, manakala storan SSD dengan jumlah storan 1-2TB kebanyakannya habis di pasaran pengguna. Oleh kerana ini, tanda harga storan digital dilihat telahpun meningkat kerana permintaan yang tinggi.
Salah satu kelebihan kriptowang Chia, menurut Bram Cohen ialah oleh kerana teknik pelombongan kriptowang ini tidak terlalu bergantung kepada prestasi CPU mahupun GPU, dan oleh itu, tidak terlalu memakan bekalan kuasa yang banyak.
Seperti yang dikatakan sebelum ini, Chia masih belum lagi melepasi piawaian perdagangan kriptowang, tetapi ia dijangka bahawa apabila ia boleh dilombong secara rasmi kelak, pelbagai pelombong kriptowang sudahpun bersiap-sedia untuk mengaut keuntungan sebanyak mana yang boleh.