Poco M2 telah diperkenalkan secara rasmi sekitar September tahun lalu. Ia juga merupakan sebuah Redmi 9 yang dijenamakan semula untuk pasaran India.
Terdahulu, kami di Amanz ada melaporkan terdapat desas-desus mengatakan Poco bakal hadir dengan penawaran Poco M2 Reloaded pula. Ternyata, perkhabaran itu benar dan ia bakal diperkenalkan secara rasmi di India pada minggu ini – iaitu 21 April 2021.
Difahamkan, tiada sebarang perubahan besar yang dibuat oleh Poco untuk model ini. Sebaliknya, ia hadir dengan varian baharu untuk memori yang berbeza dengan versi asal. Melaluinya, Poco M2 Reloaded kelak akan menampilkan pilihan RAM sebesar 4GB dan ruang storan 64GB.
Lain-lain perkara masih sama, di mana ia akan menampilkan skrin sebesar 6.53-inci LCD dengan resolusi FHD+. Ia juga akan menggunakan cip MediaTek Helio G80, kuad kamera dengan sensor utama 13-Megapixel, kamera hadapan 8-Megapixel dan bateri 5000mAh yang menyokong pengecasan 18W.