Cari @ Amanz

Huawei Kearah Pembangunan Sistem Pintar Untuk Industri Automotif Pula

Oleh Nazrin

Link Copied!

Huawei ialah sebuah syarikat teknologi yang sebelum ini cukup terkenal untuk peranti-peranti pintar dan kelengkapan telekomunikasi mereka sebelum digam oleh kerajaan Amerika Syarikat. Selepas mengembangkan portfolio komputer riba dan komputer desktop mereka, Huawei kini dilihat bakal memasuki pasaran automotif pula.

Tidak, Huawei tidak akan membangunkan kereta mereka sendiri buat masa ini, tetapi syarikat tersebut telah memperlihatkan sejumlah teknologi pintar berkaitan industri tersebut di acara Shanghai International Auto Show yang baru sahaja berlangsung baru-baru ini.

Huawei memperlihatkan lima jenis teknologi di acara tersebut, dan yang paling utama ialah mungkin integrasi sistem operasi HarmonyOS sebagai platform perkomputeran kereta. Ini memudahkan pembuat kereta untuk mengintegrasi perisian dan perkakasan automotif dengan cara yang cepat dan mudah.

Kedua ialah sistem HUD realiti terimbuh yang dinamakan Huawei AR-HUD yang menggunakan cermin hadapan kereta untuk dijadikan sebagai paparan antaramuka apabila memandu. Huawei mengatakan bahawa sistem HUD ini akan mengikuti pandangan mata pemandu, dan mempunyai julat pemandangan 13 darjah secara menegak dan 5 darjah secara melintang.

Kereta pintar sedia ada rata-rata menggunakan LIDAR mmWave untuk mengesan keadaan sekeliling untuk melihat samada terdapat sebarang halangan ataupun kenderaan dari pelbagai sisi. Ini khususnya penting untuk kenderaan swapandu yang memerlukannya untuk memastikan ia tidak terlibat dalam sebarang kemalangan.

Huawei turut memperlihatkan sistem radar 4D mereka yang dilihat menggunakan sistem antena dengan susunan 12T24R (12 saluran penghantar, 24 saluran menerima). Huawei mengatakan bahawa sistem radar mereka 50 peratus lebih cekap berbanding dengan radar mmWave 3T4R yang digunakan oleh banyak kenderaan swapandu kini.

Huawei AR-HUD dikatakan hadir dengan semua kelebihan radar mmWave, tetapi tidak seperti sistem tersebut, ia tidak terkesan oleh isu seperti kegelapan, hujan dan juga salji yang sering dilihat membelenggu radar mmWave kerana jarak pengesanannya yang sangat terhad dalam situasi-situasi tersebut.

Penggunaan radar 4D bukan sahaja membolehkan sebuah kenderaan untuk lebih cekap dalam mengimbas halangan atau kenderaan lain, tetapi juga membolehkannya untuk mengenalpasti keadaan persekitaran, samada ia hujan, salji, panas ataupun gelap.

Huawei menjangkakan bahawa penggunaan sistem radar 4D ini adalah masa hadapan sistem pengesanan persekitaran untuk industri automotif, dan dilihat sedang mara kehadapan untuk membangunkan sistem mereka sendiri.

Bercakap mengenai teknologi swapandu, Huawei turut dilihat membangunkan teknologi platform swapandu mereka sendiri yang dinamakan Huawei Octopus. Ia dilihat sebagai platform pembelajaran mesin untuk sistem swapandu dan boleh digunakan untuk tujuan simulasi swapandu juga.

Huawei Octopus yang dibangunkan secara sumber terbuka juga dijangka boleh membantu syarikat-syarikat automotif yang tidak mempunyai sebarang kepakaran dalam teknologi swapandu boleh memanfaatkan teknologi ini untuk kenderaan-kenderaan mereka di masa hadapan.

Huawei nampaknya menggunakan strategi pembangunan teknologi 5G mereka untuk memasuki arena automotif ini, dengan membekalkan kelengkapan yang perlu untuk syarikat-syarikat automotif sedia ada untuk membangunkan kenderaan swapandu mereka sendiri.

Buat masa ini ia masih tidak diketahui lagi bilakah kita akan melihat kenderaan-kenderaan swapandu yang menggunakan teknologi Huawei ini di jalan raya.


Komen ()