Carian
Samsung Mempatenkan Galaxy Z Flip Yang Boleh Lipat Ke Dalam Dan Keluar
April 19, 2021 Fahim Zahar

Dua bulan lepas, BOE telah menghasilkan skrin yang boleh dilipat 360 darjah. Secara tidak langsung sesebuah peranti yang menggunakan skrin ini boleh dilipat secara ke dalam dan keluar. Tetapi masih tiada pengeluar hadir dengan peranti sebegini.

Terkini Lets Go Digital mendedahkan yang Samsung ada mempatenkan peranti seakan Galaxy Z Flip yang boleh dilpat kedua-dua arah. Ia boleh dilipat seperti sebelum ini iaitu clamshell dan juga dilipat keluar. Dengan kebolehan dilipat keluar, skrin kedua yang kecil tidak lagi perlu disertakan. Jadi penggunaannya adalah buka separuh untuk kamera swafoto, buka sepenuhnya untuk penggunaan biasa atau mod skrin hadapan dan skrin belakang.

Bercakap mengenai kamera pula, bahagian atas skrin akan menjadi pemidang tilik dan bahagian bawah pula adalah mod flash yang akan mencerahkan skrin. Untuk mengekalkan kualiti imej yang baik tanpa ada kesan cahaya yang aneh, pemidang tilik akan dimatikan sementara. Bahagian bawah skrin juga boleh digunakan untuk kawalan manual kamera. Kamera swafoto disenaraikan adalah dua lubang pada skrin. Mungkin untuk sudut ultra lebar dan zum atau untuk kedalaman.

Peranti ini juga mungkin akan menjadi yang pertama dunia peranti dengan skrin boleh-lipat yang ada pengimbas cap jari bawah skrin. Disebabkan ini adalah paten, ia mungkin akan kekal di dalam arkib, mungkin akan menjadi realiti atau mungkin sebahagian daripada paten ini sahaja yang akan dijadikan produk sebenar. Galaxy Z Flip3 masih misteri, mungkin ada kejutan pada peranti Z Flip ketiga Samsung kelak? Sama-sama kita nantikan.

Komen