Google tahun ini akan melancarkan Pixel 6 dengan cip tersendiri. Bersama-sama dengan Pixel 6, Pixel 5A, Pixel Watch dan Pixel Buds baharu juga turut dilaporkan akan dilancarkan sekali. Banyak spekulasi untuk setiap peranti ini dan semua risau dan ingin tahu apakah rancangan Google sebenarnya?
Pixel 5A seperti 4A dan 3A adalah peranti kelas pertengahan Pixel dengan kemampuan kamera yang cukup hebat. Ia juga adalah variasi yang murah daripada Pixel biasa. Buat pertama kalinya juga, Google turut akan membawakan Pixel Buds dalam siri A, yang mana adalah TWS Google yang “pintar” yang lebih mampu milik. Pixel Buds generasi baru yang dilancarkan pada tahun lepas adalah tidak begitu hebat berbanding pesaing kerana tiada sokongan ANC. Tetapi ciri dan fungsi menarik serta dengan ekosistem Google, ia menjadikan TWS ini diminati ramai lebih-lebih lagi kepada mereka yang kerap menggunakan Google Assistant.
Untuk Pixel Buds A, disebabkan ia akan dijual pada harga lebih mampu milik – banyak ciri dan fungsi akan dibuang. Antaranya adalah lampu LED di dalam pod pengecas untuk indikasi pengecasan dibuang, menjadikan lampu LED di luar adalah untuk semua penggunaan. Kawalan gestur untuk ara suara juga akan dibuang kerana tiada swipe_forward atau swipe_backward dalam aplikasi Pixel Buds terkini.
Bergantung kepada harga jualan juga dengan Apple yang akan melancarkan AirPods 3 tidak lama lagi – Pixel Buds A mungkin alternatif terbaik. Tetapi jika harga mencecah lebih RM500 untuk TWS asas, lebih baik cari TWS lain yang lebih hebat dan lebih mudah dibeli. Sama-sama kita nantikan.