Cari @ Amanz

Tech Armory ialah sebuah jenama pembuat komputer tempatan yang hadir dengan sejumlah model komputer riba, desktop dan juga aksesori komputer yang lain. Terkini, mereka baru sahaja membuka pra-tempahan untuk paparan skrin terbaru mereka, yang dinamakan Spectrum Pro24.

Seperti yang tertera pada nama, Spectrum Pro24 ialah sebuah paparan skrin bersaiz 24 inci yang menggunakan panel IPS yang juga hadir dengan rekaan nirbingkai yang memaksimakan keluasan skrin paparan ini. Ia hadir dengan resolusi QHD (2560×1440) dan kadar segar semula 95Hz.

Tech Armory mengatakan bahawa paparan ini cukup sesuai untuk para pelajar yang mahu menaiktarafkan skrin paparan mereka, ataupun pereka digital yang mementingkan kejituan warna. Paparan Spectrum Pro24 ini hadir dengan gamut warna NTSC 72 peratus dan sRGB 100 peratus.

Dari segi pilihan input pula, paparan Spectrum Pro24 ini hadir dengan palam HDMI 1.4, DisplayPort 1.2 dan satu palam USB Type-C.

Paparan Spectrum Pro24 ini boleh dibeli melalui laman web Tech Armory pada harga RM949. Untuk pembelian dari hari ini (19 April) hingga 18 Mei kelak, Tech Armory menawarkan diskaun sebanyak RM304 yang menurunkan harganya hingga RM609. Pembelian menggunakan tunai akan melayakkan anda untuk diskaun 5 peratus lagi, menurunkan harganya kepada RM589 untuk sebuah paparan ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd